2017年6月22日星期四

Puisi-puisi yang boleh digunakan dalam karangan alam sekitar / bencana alam


1. Kempen kebersihan bersama dihayati,
Udara nyaman pasti dinikmati,
Sihat badan wajah berseri,
Negara aman hidup harmoni.

Maksud : Kempen kebersihan haruslah dihayati.

2. Air sungai mengalir damai,
Ombak berlagu memukul pantai,
Unggas bernyanyi suasana permai,
Di hari minggu kita bersantai.

Maksud : Keindahan alam.

3. Jerebu berleluasa melanda negara,
Kebakaran dan kilang punca angkaram
Lapisan ozon semakin derita,
Tanamkan kesedaran atasi segera.

Maksud : Masalah jerebu yang melanda negara.

4. Amalan meludah membuang sampah,
Mengotorkan sekitar mesti ditegah,
Menghisap rokok menagih dadah,
Perbuatan yang buruk perlu dicegah.

Maksud : Amalan suka meludah dan membuang sampah di merata-rata tempat akan mengotorkan alam sekitar.

5. Balak ditebang sesuka hati,
Tanah runtuh di sana sini,
Rancangan pembangunan dengan teliti,
Wujudkan keseragaman pentingkan kualiti.

Maksud : Penebangan pokok kayu balak dengan sewenang-wenangnya telah mengakibatkan berlakunya kejadian tanah runtuh.

6. Tanah, udara dan lautan,
Allah kurnia pelbagai kegunaan,
Mesti dihayati penuh kesyukuran,
Pasti dilimpah pelbagai kurniaan.

Maksud : Allah mengurniakan tanah, udara dan lautan yang mempunyai pebagai kegunaan supaya anugerah ini dapat dihayati dengan penuh kesyukuran.

7. Bumi ini amanah Tuhan,
Dijaga rapi ke akhir zaman,
Usah dicari kemurkaan Tuhan,
Kelak nanti ditimpa seksaan.

Maksud : Bumi yang diamanahkan oleh Tuhan ini perlu dijaga sampai bila-bila.

8. Sematkan di jiwa semangat iltizam,
Janganlah suka berbuat kejam,
Flora dan fauna tidak terancam,
Kehidupan di dunia aman tenteram.

Maksud : Semangat untuk tidak bertindak kejam terhadap flora dan fauna untuk mengelakkan daripada terancam.