2017年9月22日星期五

STPM BM 2017: Faktor pemanasan global

STPM 2017 : Jelaskan faktor timbul pemanasan global.


               Pada masa ini, dunia menyaksikan gejala pemanasan global yang semakin menggusarkan. Negara maju menuding jari ke arah negara-negara sedang membangun yang giat melaksanakan pembangunan, manakala negara sedang membangun menuding negara maju terlalu giat memajukan sektor perindustrian masing-masing. Jadi, siapakah yang harus dipersalahkan? Umum mengetahui bahawa fenomena pemanasan global menyebabkan suhu bumi menjadi tidak stabil dan cuaca menjadi panas. Sebenarnya, keadaan yang membimbangkan ini disebabkan oleh pelbagai faktor yang perlu dikenal pasti.

               Penebangan hutan yang tidak terkawal adalah antara penyebab berlaku pemanasan global. Apabila hutan ditebang secara berleluasa, pokok semakin berkurang. Sinaran matahari terus memanaskan permukaan bumi. Keadaan ini menyebabkan suhu bumi meningkat. Sekiranya penebangan dilakukan secara berturutan dan tidak ada program penghutanan semula dijalankan, sudah tentu tanah tidak dilindungi oleh pokok. Tumbuhan-tumbuhan tidak dapat menyerap gas karbon dioksida yang dilepaskan oleh manusia. Gas karbon dioksida ini terperangkap dalam ruang atmosfera dan seterusnya menyumbang kepada pemanasan global. Penebangan hutan yang keterlaluan boleh menyebabkan kawasan tadahan air terganggu dan kekerapan serta kapasiti air hutan turut terjejas. Jelasnya, penebangan hutan mengundang berlakunya pemanasan global.

               Selain itu, kepesatan sektor perindustiran juga boleh menimbulkan gejala pemanasan global. Sektor perindustrian berkembang dengan pesat, khususnya di negara-negara maju. Perkembangan sektor tersebut menjadi pemangkin kepada pembangunan kilang-kilang. Kita mengetahui bahawa kilang memerlukan bahan api yang banyak untuk beroperasi dan sumber tenaga yang paling umum digunakan iaitu sumber daripada bahan fosil. Penggunaan bahan api ini seperti arang batu, petroleum, dan diesel menghasilkan gas karbon dioksida dan karbon monosida yang boleh memerangkap udara. Asap yang dibebaskan oleh kilang mengandungi gas beracun yang akan menipiskan lapisan ozon. seterusnya boleh menyebabkan cuaca panas dan lembap. Tegasnya, perkembangan sektor perindustrian membawa kepada pemanasan global.

               Faktor seterusnya ialah penggunaan kenderaan bermotor yang semakin meningkat. Kebanyakan kenderaan menggunakan bahan api fosil, iaitu petroleum berplumbum dan diesel. Sumber tenaga ini tidak mengalami pembakaran yang sempurna dalam penghasilan tenaga. Asap dan jelaga akan terbebas apabila pembakaran bahan itu tidak sempurna dan hal ini menyebabkan udara dipenuhi oleh jisim terampai yang kotor. Keadaan ini menyebabkan udara tercemar dan semakin buruk lagi apabila bahan bakar itu juga membebaskan gas karbon dioksida dan monoksida. Pendek kata, peningkatan gas karbon dioksida di kitaran udara menyumbang kepada pemanasan global.


              Di samping itu, pertambahan bangunan pencakar langit juga boleh menyebabkan pemanasan global. Bangunan konkrit pencakar langit yang dibina di bandar-bandar besar, seperti di Chicago, di New York, dan di bandar-bandar lain yang sibuk dan padat di dunia. Bangunan tersebut menampung beratus-ratus unit kediaman ataupun ruang pejabat.  Pendingin udara yang digunakan di setiap ruang juga menyumbang kepada berlakunya pemanasan udara di kawasan sekitar. Penggunaan bahan api untuk tujuan penyejukan di bangunan tersebut dan kurangnya pokok di kawasan persekitaran  telah memburukkan keadaan. Sesungguhnya, proses pembandaran atau urbanisasi yang pesat turut menjadi puncanya.

              Pembakaran terbuka yang sering dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab turut mengundang kepada pemanasan global. Mereka berbuat demikian untuk melupuskan sisa buangan dengan mudah dan murah. Sesetengah pengusaha, misalnya pemaju perumahan, membakar bahan buangan dengan membakarnya secara terbuka, manakala sesetengah petani menjalankan aktiviti pertanian dengan menebang pokok, kemudian membersihkan kawasan tersebut dengan cara yang sama. Pembakaran terbuka menyebabkan pemanasan global apabila bahan-bahan yang dibakar mengeluarkan asap dan gas berbahaya terbebas ke udara yang mendorong berlakunya kesan rumah hijau. Asap dan gas berbahaya itu menyebabkan lapisan ozon yang menapis pancaran cahaya matahari menjadi nipis. Tuntasnya, pembakaran terbuka menatijahkan gejala pemanasan global.
              
              Kesimpulannya, gejala pemanasan global bukan sahaja boleh membawa bencana kepada manusia, malah kepada seluruh isi alam ini. Oleh itu, faktor berlakunya gejala tersebut mestilah dikesan dan jalan penyelesaiannya harus dilaksanakan. Usaha ini tidak seharusnya hanya melibatkan beberapa buah negara, sebaliknya penglibatan semua negara diperlukan kerana berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Sebelum nasi menjadi bubur, semua pihak perlu bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk menangani gelaja tersebut. Akhir sekali, setiap usaha yang dibuat untuk tujuan pembangunan haruslah berasaskan perancangan yang saintifik.

没有评论 :

发表评论