2020年1月14日星期二

Karangan SPM Bahagian A- Ciri Sekolah Harmoni


            Sekolah merupakan institusi formal yang menyediakan tempat tinggal untuk setiap pelajar menimba ilmu pengetahuan. Setiap warga sekolah mahukan sekolah yang harmoni. Suasana sekolah yang harmoni dapat membantu pelajar dalam pelbagai aspek. Sekolah yang harmoni bersuasana aman, damai dan tenteram sesuai dijadikan latar tempat kepada sesebuah pembelajaran, bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal. Semua orang semestinya mahukan suasana sekolah seperti ini. Persoalannya, apakah kriteria-kriteria sekolah harmoni?

            Sekolah harmoni memerlukan suasana pembelajaran yang kondusif. Kondusif di sini membawa erti persekitaran yang sesuai untuk pembelajaran. Setiap pelajar tentunya memerlukan kemudahan seperti meja, kerusi, buku-buku rujukan dan sebagainya. Pusat sumber merupakan antara tempat yang amat strategik sebagai satu kawasan pembelajaran kerana ia menyediakan suasana yang diperlukan oleh para pelajar. Jelaslah bahawa suasana pembelajaran yang kondusif menjadi komponen prima kepada sesebuah sekolah harmoni.

            Selain itu, persekitaran sekolah yang bersih dan ceria juga merupakan salah satu ciri sekolah harmoni. Apabila persekitaran kita sentiasa dijaga dengan baik, sudah tentu kita tidak akan menerima sebarang masalah yang akan mengganggu kita. Bukan itu sahaja, persekitaran yang selesa dan tenang dapat menjamin keselamatan sekolah. Suasana sekolah juga haruslah bersih bagi mengelakkan pelbagai risiko penyakit kerana mencegah lebih baik daripada mengubati. Sakit sama mengaduh, luka sama menyiuk. Izharnya, para pendidik dan pelajar perlulah sentiasa bekerjasama untuk mewujudkan keceriaan sekolah.

            Di samping itu, sesebuah sekolah yang harmoni tidak mempunyai sebarang kes disiplin yang menggugat keselamatan sekolah. Kes disiplin merupakan aktiviti yang dapat menjejaskan nama dan maruah sekolah, misalnya kes buli, ponteng kelas, vandalisme, gangsterisme dan sebagainya. Keadaan ini bukan sahaja mengundang nama buruk sekolah, tetapi ia juga menyebabkan terdapat segelintir pelajar berasa takut untuk menghadirkan diri ke sekolah. Hal ini secara eksplisit telah mencemarkan keharmonian sesebuah sekolah. Sudah terang lagi bersuluh bahawa disiplin merupakan akar tunjang kepeada keharmonian sekolah.

            Selain disiplin, sikap kerjasama dalam kalangan warga sekolah merupakan antara elemen yang perlu ada dalam sebuah sekolah harmoni. Bagaikan pahat dengan penukul, semua warga sekolah perlu berkolaborasi dalam menjayakan misi mewujudkan sekolah harmoni. Masalah kesalahfahaman antara kaum, agama, dan masyarakat haruslah dielakkan. Bagi merapatkan tali silaturahim, terdapat banyak aktiviti boleh dilakukan khususnya aktiviti gotong-royong. Saya optimis bahawa tanpa adanya sikap bekerjasama, sudah pasti keharmonian tidak dapat dicapai.

            Tuntasnya, agak sukar untuk mewujudkan sekolah harmoni jika tiada persefahaman di antara seluruh komuniti sekolah. Para pelajar, ibu bapa, pendidik, mahupun pekerja am haruslah berganding bahu untuk melestarikan seruan kerajaan untuk mewujudkan sekolah harmoni di Malaysia sekali gus melahirkan modal insan berminda kelas pertama melalui sekolah harmoni.

没有评论 :

发表评论