2020年1月14日星期二

Karangan SPM Bahagian A- Ciri Langkah mewujudkan Sekolah Selamat



            Sekolah atau alma mater merupakan tempat kita belajar. Oleh sebab itu, tempat kita menimba ilmu ini mesti berada dalam keadaan yang selamat dan selesa. Hal ini penting agar sekolah dapat melahirkan pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum. Sebenarnya, terdapat pelbagai cara yang dapat kita lakukan untuk menjadikan sekolah sebagai tempat yang selamat. Cara-cara berikut harus kita ketahui demi menjadikan sekolah sebagai tempat anak-anak belajar yang selamat dan selesa.

            Pihak sekolah mestilah menyediakan alat kawalan kebakaran di tempat yang strategik dalam Kawasan sekolah. Langkah ini penting supaya kebakaran dapat dielakkan daripada merebak ke bangunan lain. Walau bagaimanapun, kebanyakan sekolah di Malaysia mengalami nasib yang sama, yakni alat kawalan kebakaran seperti pili bomba dan alat kawalan kebakaran berbentuk semburan tidak dapat berfungsi dengan normal kerana rosak atau hilang. Sebenarnya, alat kawalan kebakaran yang rosak dan yang telah dicuri mestilah digantikan yang baharu. Pihak sekolah juga haruslah mendidik murid cara-cara menggunakan alat tersebut pada waktu kecemasan. Dengan itu, sekolah akan menjadi tempat belajar yang selamat.

            Selain itu, pihak pentadbir sekolah juga haruslah membina pelan kecemasan yang dapat digunakan pada saat-saat sekolah ditimpa kecemasan, Hal ini dikatakan demikian kerana mencegah lebih baik daripada mengubati. Oleh itu, pelan tangga kecemasan dan pelan larian ke padang perlu ditampal di tempat yang mudah dilihat. Latihan kebakaran haruslah dijalankan dari semasa ke semasa. Tindakan ini dapat memastikan pelajar sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku. Cara tersebut pasti dapat mengurangkan kemalangan dan kecederaan dalam kalangan warga sekolah.

            Di samping itu, keselamatan pelajar di pintu sekolah juga mesti dijaga dengan rapi. Setiap pintu sekolah mesti dijaga oleh beberapa orang pengawal keselamatan. Pondok sekuriti mestilah dibina untuk memastikan para pelajar dapat melaporkan sebarang kejadian yang tidak diingini kepada pihak bertugas. Dengan itu, kejadian seperti kes culik dan kes ragut dapat diatasi sekali gus menjamin keselamatan para pelajar yang mahu memasuki pintu sekolah mahupun semasa balik ke rumah mereka masing-masing. Jelaslah bahawa penjagaan keselamatan pelajar di pintu sekolah oleh pengawal keselamatan amat penting dalam mewujudkan suasana sekolah yang selamat.

            Sementara itu, keselamatan di jalan-jalan berdekatan dengan Kawasan sekolah juga harus ditingkatkan oleh pihak berkuasa. Perhatian harus diberikan oleh pihak kerajaan tempatan dengan menyediakan lampu isyarat di jalan-jalan yang menjadi lintasan pelajar. Penyediaan “lintasan zebra” merupakan antara langkah penting yang membolehkan pelajar dapat melintas jalan ke sekolah dengan selamat. Bukan itu sahaja, pemasangan papan tanda isyarat “Kurangkan Kelajuan, Kawasan Sekolah” dan  kawalan trafik oleh pihak pengawal keselamatan sekolah perlu dilakukan supaya kesedaran dapat diberikan kepada para pemandu apabila mereka berada di Kawasan sekolah. Apabila langkah di atas dapat diambil, murid-murid akan berasa selamat dan kes kemalangan di Kawasan sekolah dapat dikurangkan.

            Kesimpulannya, keselamatan pelajar menjadi tanggungjawab semua pihak. Semua pihak haruslah bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk menjamin keselamatan anak-anak ke sekolah dan sepanjang berada di sekolah. Para pelajar mesti dididik mematuhi segala arahan dan peraturan di sekolah. Lebih-lebih lagi, ibu bapa haruslah memasti anak-anak selamat masuk ke sekolah sebelum beredar ke pejabat. Kempen “ Sekolah Selamat” haruslah diuar-uarkan supaya keselamatan pelajar dapat dijamin. Dengan itu, sekolah akan menjadi tempat belajar yang selamat dan kondusif.

没有评论 :

发表评论