2017年2月2日星期四

Karangan SPM Bahagian B- Soalan 3. Usaha-usaha untuk memajukan sektor pelancongan negara

Soalan 3 : Malaysia merupakan sebuah negara yang berpotensi untuk lebih maju dalam sector pelancongan. Sehubungan dengan itu, anda ingin menulis rencana untuk disiarkan oleh akhbar tempatan. Tajuk rencana tersebut ialah ‘’ Usaha-usaha untuk memajukan sektor pelancongan negara’’. Tulis rencana itu selengkapnya. 
                Usaha-usaha untuk memajukan sektor pelancongan negara

                    Sektor pelancongan di negara kita berkembang maju dan menjadi sumber pendapatan negara yang penting. Hal ini menyebabkan tempat pelancongan di negara ini dibuka dengan banyak seperti cendawan selepas hujan. Kerajaan telah menggerakkan semua agensinya untuk memastikan sektor pelancongan berkembang pesat sejajar dengan pembangunan negara yang pantas. Namun, masih ada ruang dan luang yang wajar dimanfaatkan oleh semua pihak untuk memastikan semua pihak mendapat faedah daripada perkembangan sektor ini. Jika ditinjau dengan mendalam terdapat beberapa langkah yang pragmatik untuk memajukan sektor pelancongan di negara kita.

                    Antara langkah yang dapat diambil ialah pihak kerajaan memperkenalkan produk pelancongan baharu yang dapat menarik minat pengunjung mancanegara (negara-negara asing). Banyak produk pelancongan yang wajar diterokai oleh pihak-pihak yang terbabit. Misalnya, kerajaan menggalakkan masyarakat melibatkan diri dalam program inap desa dengan lebih banyak. Selain itu konsep pelancongan kesihatan, agropelancongan, ekopelancongan, dan seumpamanya hendaklah dikembangkan. Kita juga wajar memperkenalkan pelancongan musim buah-buahan seperti musim durian, manggis, langsat, dan sebagainya. Produk pelancongan yang diperkenalkan mestilah dapat menarik hati pelancong-pelancong mancanegara. Biasanya pelancong luar mahu melihat sesuatu yang tidak ada di negara mereka. Oleh itu, kita harus mengambil peluang untuk memperkenalkan keunikan negara ini dengan mengetengahkan budaya hidup dan kesenian masyarakat tempatan. Sebagai contoh, pelancong wajar dibawa untuk tinggal bersama-sama masyarakat luar bandar dan mendalami cara hidup mereka. Jadi, usaha kerajaan memperkenalkan produk pelancongan baharu dapat meningkatkan sektor berkenaan.
                    Selain itu pihak kerajaan wajar menganjurkan karnival pelancongan di seluruh pelosok dunia. Karnival pelancongan ialah kaedah yang berkesan untuk memperkenalkan negara kita sebagai destinasi pelancongan. Dalam karnival ini, banyak perkara yang dapat diketengahkan. Antaranya ialah tempat-tempat menarik di negara ini, makanan yang pelbagai, dan juga kebudayaan masyarakat pelbagai kaum. Selain itu karnival ini juga wajar menyediakan pakej-pakej pelancongan yang kompetitif kepada masyarakat antarabangsa. Karnival seperti ini hendaklah diadakan di seluruh dunia. Tumpuan hendaklah diberikan pada rantau yang jauh seperti di Amerika Selatan dan juga Afrika. Sebagai contoh karnival wajar diadakan di Brazil untuk menarik minat pengunjung di sana datang ke Malaysia dan menghebahkan kehebatan negara kita, bak kata pepatah tak kenal maka tak cinta. Oleh yang demikian, penganjuran karnival pelancongan di luar negara merupakan langkah yang berkesan untuk mempromosikan negara kita sebagai destinasi pelancongan yang menarik.

                    Seterusnya, kerajaan Malaysia juga wajar menganjurkan pelbagai acara antarabangsa dengan lebih kerap. Pelbagai acara antarabangsa wajar dilobi agar diadakan di negara ini. Sebagai contoh, penganjuran acara sukan antarabangsa seperti Monsoon Cup, perlumbaan Formula 1, kejohanan badminton, dan seumpamanya merupakan acara yang sangat mendapat perhatian peminat antarabangsa. Dalam bidang seni pula, negara kita menjadi tuan rumah kepada beberapa acara antarabangsa, contohnya Festival Muzik Dunia yang diadakan di Sarawak pada setiap tahun. Kemampuan negara untuk menganjurkan acara antarabangsa memang terbukti kejayaannya, bak kata pepatah duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain di dunia. Acara antarabangsa ini hendaklah diadakan dengan lebih kerap dan dijadikan acara tahunan. Dengan cara ini, lebih ramai pelancong akan mengunjungi negara ini bukan sahaja untuk melibatkan diri dalam acara-acara yang dianjurkan, malahan untuk melawat ke tempat-tempat menarik di negara kita, bak kata pepatah sambil menyelam minum air. Jadi, jelaslah penganjuran acara antarabangsa dapat meningkatkan promosi pelancongan di negara kita.

                    Selain itu, satu daripada langkah-langkah untuk mempromosikan sektor pelancongan negara ini adalah dengan mengadakan kempen Tahun Melawat Malaysia dengan lebih berkesan dan melibatkan lebih banyak penyertaan. Tahun Melawat Malaysia ialah kempen untuk menggalakkan pelancong datang ke negara kita dengan lebih besar bilangannya. Kempen yang diadakan sepanjang tahun ini menyediakan pelbagai acara untuk menarik minat pelancong datang ke negara ini. Misalnya, pelbagai acara kebudayaan pelbagai kaum dipersembahkan untuk para pelancong. Penyertaan pelbagai pihak digalakkan untuk memeriahkan sambutan Tahun Melawat Malaysia ini lagi. Selain badan-badan kerajaan, pihak swasta juga memikul tanggungjawab untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang kompetitif, bak kata pepatah berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Hotel-hotel, syarikat penerbangan, dan syarikat pengangkutan awam mestilah melibatkan diri untuk menjayakan kempen ini. Jelaslah, kempen Tahun Melawat Malaysia dapat meningkatkan sektor pelancongan di negara kita.

                    Kesimpulannya, terdapat pelbagai langkah yang dapat dirancang dan dilaksanakan untuk meningkatkan sektor pelancongan di negara kita. Semua pihak hendaklah tampil dan menunjukkan iltizam yang tinggi untuk membantu kerajaan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang hebat, bak kata pepatah kalau tidak dipecahkan ruyung, di mana akan mendapat sagunya. Jika tidak, segala keunikan dan kehebatan budaya pelbagai kaum di negara ini akan sia-sia dan tidak dapat diketengahkan untuk dinikmati oleh pelancong tempatan dan mancanegara. Kerjasama dan kesungguhan semua pihak yang terbabit akan menonjolkan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelancongan yang terkenal di dunia.


(Sumber: Dr.Ghazali Lateh)

Karangan SPM Bahagian B- Soalan 2. Bincangkan faktor-faktor yang merangsang perkembangan industri pelancongan tersebut

Soalan 2 : Sektor pelancongan merupakan salah satu industri perkhidmatan terpenting di negara kita. Bincangkan faktor-faktor yang merangsang perkembangan industri pelancongan tersebut.


                    Malaysia merupakan salah satu destinasi pelancongan utama di dunia. Saban tahun, jumlah pelancong yang direkodkan semakin bertambah bukan sahaja pelancong dari negara jiran seperti Singapura, Thailand dan Indonesia malah turut menjadi tumpuan pelancong asing dari Asia Barat, Eropah dan Amerika Syarikat. Industri pelancongan ini juga mempunyai potensi besar dan mampu dijadikan sumber ekonomi baharu yang menguntungkan. Justeru, banyak syarikat besar yang tumbuh “bak cendawan selepas hujan” mahupun agensi kerajaan yang giat melaksanakan usaha bagi menarik pelancong berkunjung ke Malaysia. Sebenarnya terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan Malaysia menjadi tumpuan pelancong.

                    Antara faktor tersebut adalah kerana Malaysia mempunyai banyak tempat menarik untuk dilawati. Tempat menarik tersebut lazimnya menjadi tumpuan pelancong asing yang berkunjung ke negara kita. Sebagai contohnya, Malaysia memiliki kawasan rekreasi di tanah tinggi yang mempunyai suhu sejuk seperti Cameron Highlands dan Genting Highlands. Di kawasan ini, para pelancong dapat menikmati keindahan alam semula jadi yang unik di samping melihat pelbagai tanaman hawa sederhana iaitu sayur-sayuran serta buah-buahan tropika. Malaysia juga mempunyai hutan semula jadi iaitu hutan hujan Khatulistiwa yang berusia lebih dua juta tahun. Di kawasan hutan semula jadi ini pelancong dapat menjalankan aktiviti riadah sambil menikmati keindahannya mahupun menjalankan kajian tentang flora dan fauna yang terdapat di situ. Justeru, kewujudan kawasan reakrasi seperti ini dapat menarik pelancong dari dalam dan dari luar negara.

                   Selain itu, perkembangan industri pelancongan di negara kita juga disebabkan oleh keadaan iklim semula jadinya yang panas sepanjang tahun. Corak iklim seperti ini amat digemari oleh pelancong asing khususnya pelancong dari negara-negara barat seperti negara Eropah dan Amerika Syarikat. Ramai pelancong barat yang mengambil kesempatan bercuti di Malaysia untuk berjemur di bawah sinaran matahari terik terutamanya di kawasan pantai yang terdapat di Malaysia. Hal ini disebabkan juga oleh keadaan pantai yang terdapat di Malaysia amat cantik, bersih dan berpasir putih. Di kawasan pantai ini juga disediakan pelbagai aktiviti untuk para pelancong seperti berkayak, berperahu layar mahupun mandi-manda. Oleh itu, keistimewaan tersebut berjaya menambat hati para pelancong untuk terus berkunjung ke negara kita.

                    Di samping itu, perkembangan industri pelancongan di negara kita juga turut disebabkan oleh kewujudan banyak pulau yang indah dan menarik. Di antara pulau yang menjadi tumpuan para pelancong di negara kita termasuklah Pulau redang, Pulau Kapas dan Pulau Tioman. Kemudahan prasarana di kawasan ini dijaga dengan rapi bagi memastikan kawasan ini sentiasa bersih dan selesa untuk kunjungan para pelancong. Para pelancong juga akan dapat merasai “syurga dunia” dengan melakukan aktiviti skuba di kawasan batu karang yang terletak di Pulau Kapas sehingga diakui sebagai satu daripada tujuh keajaiban dunia. Bagi memastikan pelancong dapat menikmati keindahan semula jadi di kawasan pulau tersebut, kerajaan telah mewartakan kawasan itu sebagai Taman Laut. Jadi, dengan adanya keistimewaan tersebut, Malaysia dapat menarik lebih ramai pelancong yang sekaligus dapat menjana kemajuan industri pelancongan negara.

                    Pada masa yang sama, kemajuan industri pelancongan tanah air dibantu oleh wujudnya keunikan budaya di negara kita. Memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara yang memiliki masyarakat majmuk maka pelbagai budaya menarik terdapat di sini. Gabungan budaya masyarakat Melayu, Cina dan India telah berjaya meningkatkan kunjungan pelancong asing ke Malaysia. Kaum Melayu umpamanya terkenal dengan tarian inang dan zapin manakala kaum Cina pula terkenal dengan tarian naga. Selain itu, Malaysia juga kaya dengan pelbagai makanan tradisional yang dapat dinikmati oleh para pelancong. Masyarakat Melayu misalnya terkenal dengan makanan seperti Sate, ketupat dan rendang manakala kaum India pula terkenal dengan masakan kari, tosei, idali dan lain-lain. Justeru keunikan budaya masyarakat di Malaysia telah berjaya menjadi daya tarikan kepada para pelancong untuk berkunjung ke negara kita.

                   Peranan pihak kerajaan dan agensi kerajaan yang berkaitan dengan pelancongan juga turut memajukan sektor pelancongan di Malaysia. Sebagai contohnya, Kementeria Pelancongan telah mengadakan pelbagai pertunjukan kebudayaan dan destinasi pelancongan Malaysia ke beberapa buah negara sebagai usaha mempromosikan Malaysia kepada pelancong asing. Tumpuan promosi bukan sahaja terhad ke negara-negara Eropah atau Amerika Syarikat malah meliputi semua negara di dunia termasuk di Asia Barat dan di Asia Timur. Pada masa yang sama, kerajaan juga turut mengadakan pelbagai aktiviti tahunan bagi menarik lebih ramai pelancong seperti mengadakan Pesta Flora Kuala Lumpur, Pesta Makanan Tradisional Malaysia, sukan Le Tour De Langkawi dan sebagainya. Malaysia juga turut memperkenalkan konsep pelancongan baru seperti “ekopelancongan”, “agrotourism”, pelancongan perubatan, pelancongan pendidikan dan lain-lain. Dengan usaha yang berterusan ini maka sektor pelancongan di Malaysia semakin berkembang maju.


                   Intihanya, sektor pelancongan merupakan sektor baru yang berpotensi untuk menyumbang pada ekonomi negara. Industri ini masih perlu diterokai kerana “kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”. Justeru, peranan kerajaan dan agensi pelancongan berserta dengan kerjasama daripada semua masyarakat adalah amat diperlukan. Semoga melalui keprihatianan dan rasa bertanggungjawab dan cinta akan negara, nama Malaysia akan menjadi sebutan dan tumpuan utama seluruh penduduk dunia untuk berkunjung sambil merehatkan minda mereka.

Karangan SPM Bahagian B- Soalan 1. Faktor memilih Malaysia sebagai tempat/ destinasi pelancongan

Tema : Pelancongan
Soalan 1: Faktor memilih Malaysia sebagai tempat/ destinasi pelancongan

                    Malaysia merupakan sebuah negara yang istimewa.  Ramai pelancong memilih negara kita sebagai destinasi pelancongan.   Apakah sebab-sebab rakyat Malaysia memilih  untuk melancong di negara sendiri? Malaysia sebenarnya mempunyai pelbagai jenis industri pelancongan yang boleh dikomersialkan. Antaranya termasuklah destinasi pelancongan berasaskan Kebudayaan, Industri Kraftangan, Makanan Tradisi, Tempat-tempat Menarik, Sukan dan Agrotourism. Klasifikasi ini penting kerana pelancong mempunyai minat yang berbeza dan memudahkan mereka membuat pilihan untuk melancong ke tempat-tempat tersebut. Kebiasaannya, tempat tersebut wujud kerana keunikan  identiti dan keistimewaan tersendiri. Contohnya, destinasi pelancongan berasaskan tempat-tempat menarik seperti Pulau Pangkor, Pulau Tioman, Pulau Redang dan Taman Negara Bako. Selain itu, destinasi pelancongan berasaskan Sukan dapat direalisasikan melalui penganjuran Sukan Antarabangsa seperti Formula 1 di Sepang dan Le Tour De Langkawi yang menjadi acara tahunan di Pulau Langkawi. Jelaslah sektor pelancongan yang mempunyai identiti tersendiri dapat menarik minat pelancong.
    
                    Antara sebabnya ialah keindahan alam sekitar yang menarik terdapat di negara ini.  Malaysia mempunyai hutan yang menarik.  Tempat-tempat ini boleh menenangkan fikiran kita contohnya, Taman Negara Endau, Rompin, Gua Niah di Sarawak dan lain-lain. Promosi ini keunikan dan keindahan alam semula jadi telah diwara-warakan melalui iklan-iklan di media cetak dan media elektronik termasuklah di laman-laman web. pameran di  tempat-tempat awam seperti pasar raya, pertandingan-pertandingan dan pesta jualan. Contohnya pertandingan memancing ‘Joran’ anjuran Berita Harian yang diadakan saban tahun secara tidak langsung turut mempromosikan tempat-tempat menarik di Malaysia seperti Pulau Tioman, Tasik Kenyir dan Empangan Temenggor.  Ringkasnya, Promosi destinasi pelancongan yang giat dilakukan dalam usaha memperkenalkan destinasi menarik di Malaysia merupakan pemangkin Malaysia menjadi lokasi tarikan utama pelancong kerana tak kenal maka tak cinta.
                 
                    Pada masa yang sama, kemajuan industri pelancongan tanah air dibantu oleh wujudnya keunikan budaya di negara kita. Memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara yang memiliki masyarakat majmuk maka pelbagai budaya menarik terdapat di sini. Gabungan budaya masyarakat Melayu, Cina dan India telah berjaya meningkatkan kunjungan pelancong asing ke Malaysia. Kaum Melayu umpamanya terkenal dengan tarian inang dan zapin manakala kaum Cina pula terkenal dengan tarian naga. Selain itu, Malaysia juga kaya dengan pelbagai makanan tradisional yang dapat dinikmati oleh para pelancong. Masyarakat Melayu misalnya terkenal dengan makanan seperti sate, ketupat dan rendang manakala kaum India pula terkenal dengan masakan kari, tosei, idali dan lain-lain. Justeru keunikan budaya masyarakat di Malaysia telah berjaya menjadi daya tarikan kepada para pelancong untuk berkunjung ke negara kita yang menjadi faktor serampang dua mata dalam menjana ekonomi negara. .
               
                    Malaysia juga mempunyai pantai-pantai yang menarik.  Apabila melancong di pantai,  pulau, dan kawasan tanah tinggi, kita dapat menghilangkan tekanan dan mendapat hiburan.  Rakyat Malaysia yang melancong bersama-sama keluarga boleh mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga.  Sebagai contoh Pulau Pinang, Pulau Tioman, Pulau Langkawi, Port Dickson, Desaru Kota Tinggi, Tanah Tinggi Cameron, Tanah Tinggi Genting dan lokasi lain yang boleh dijadikan destinasi pelancongan keluarga.  Sebagai contohnya, Malaysia memiliki kawasan rekreasi di tanah tinggi yang mempunyai suhu sejuk seperti Cameron Highlands dan Genting Highlands. Di kawasan ini, para pelancong dapat menikmati keindahan alam semula jadi yang unik di samping melihat pelbagai tanaman hawa sederhana iaitu sayur-sayuran serta buah-buahan tropika. Malaysia juga mempunyai hutan semula jadi iaitu hutan hujan Khatulistiwa yang berusia lebih dua juta tahun. Di kawasan hutan semula jadi ini pelancong dapat menjalankan aktiviti riadah sambil menikmati keindahannya mahupun menjalankan kajian tentang flora dan fauna yang terdapat di situ. Justeru, kewujudan kawasan reakrasi seperti ini menjadi faktor dominan  menarik pelancong dari dalam dan dari luar negara.
               
                    Malaysia juga popular dengan  pusat-pusat beli-belah yang terkenal.  Contohnya, Mega Mall di Kuala Lumpur, Mahkota Parade di Melaka, The Summit. Alamanda, Mid-Valley dan lain-lain.  Barangan yang dijual di negara kita setanding dengan negara  di luar negara.  Selain itu, terdapat juga pelbagai kraftangan yang boleh dijadikan cenderamata.  Pelancong sangat  suka barangan kraftangan Malaysia kerana menarik dan terdapat pelbagai tawaran harga murah oleh pelbagai pihak.  Pada setiap tahun juga, diadakan promosi harga barangan dan jualan mega. Contohnya seperti yang telah dilakukan oleh ‘First World Hotel’. Agensi tersebut telah menyediakan pakej yang murah, serendah RM 88.00 untuk satu malam meliputi penginapan, makan malam, sarapan, makan tengah hari dan lawatan ke taman tema. Jelasnya, melalui tawaran pakej istimewa tersebut,  sudah pasti pelbagai golongan masyarakat dapat memenuhi hasrat kerajaan untuk memajukan sektor pelancongan di negara kita.  Oleh itu, rakyat Malaysia tidak perlu melancong  luar negara kerana Malaysia mempunyai segala-galanya.


                    Tuntasnya, jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya, jika usaha yang dilakukan amat kurang dan terbatas, bagaimanakah hasrat untuk melihat sektor pelancongan di negara kita merentasi benua dan dunia akan menjadi nyata. Segala usaha yang dirancang dan direncana memerlukan bantuan dan kerjasama daripada semua pihak. Semoga melalui keprihatinan dan rasa bertanggungjawab serta cinta akan negara , nama Malaysia akan menjadi sebutan dan pilihan utama seluruh penduduk dunia sebagai destinasi merehatkan minda.

Karangan SPM Bahagian B- Semangat kejiranan

Tema : Semangat kejiranan [Soalan Percubaan SPM 2016]

Bentuk Soalan :

Kedah
- 1. Semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat hari ini dikatakan kian luntur. Jelaskan langkah-langkah yang boleh diambil oleh pelbagai pihak untuk memupuk semangat kejiranan.

SBP
- 1. Semangat kejiranan merupakan unsur penting dalam kehidupan bermasyarakat untuk membentuk komuniti yang sejahtera, bertolak ansur dan harmoni. Huraikan faktor-faktor lunturnya semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat pada hari ini.

Terengganu
- 3. Semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat semakin luntur. Sehubungan dengan itu, anda ingin menulis rencana untuk disiarkan dalam akhbar tempatan. Tajuk rencana tersebut ialah usaha-usaha untuk mengukuhkan semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat. Tulis rencana itu selengkapnya.

Pahang
- 2. Ibu bapa merupakan suri teladan dalam membentuk tingkah laku anak-anak khususnya dalam memupuk semangat kejiranan agar tidak luntur dalam kalangan masyarakat. Huraikan usaha-usaha yang wajar dilakukan oleh ibu bapa dalam mengekalkan semangat kejiranan di Malaysia.

Pulau Pinang
- 2. Amalan kejiranan semakin terpinggir dalam masyarakat pada masa ini. Masyarakat semakin melupakan amalan bergotong-royong, kunjung-mengunjungi, dan bertegur sapa sesama jiran. Dalam hal ini, keluarga berperanan penting untuk menghidupkan amanlan kejiranan ini agar menjadi ikutan anak-anak. Ulas pernyataan ini.

Tutor SPM (Edisi 35)
- 3. Semangat kejiranan yang semakin luntur telah menyebabkan timbulnya berbagai-bagai masalah dalam masyarakat. Huraikan faktor-faktor lunturnya semangat kejiranan dan cara-cara mengatasinya.



Usaha-usaha untuk mengukuhkan semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat


                    Pepatah Melayu ada menyebut, Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dipertahankan; adat bersuku, suku dipertahankan; dan adat bernegeri, negeri dipertahankan. Lalu kita ingin bertanya, bagaimanakah adat hidup berjiran dalam kalangan masyarakat kita? Ada bidalan yang menyebut, Hidup kayu berbuah, hidup manusia biarlah berfaedah. Hal ini bermakna, sepanjang kita hidup, manfaatkan ruang yang ada dengan aktiviti yang berfaedah seperti berbaik-baik dengan jiran. Tetapi atas nama pembangu           nan, sikap seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing bukanlah sesuatu yang asing kepada masyarakat kita, terutamanya dengan jiran. Senario ini tentu sahaja tidak berlaku jika masyarakat bersikap seperti aur denga tebing, yang saling memerlukan untuk memperteguh ikatan silaturahim. Jika diperhalusi permasalahan ini, salah satu puncanya ialah masyarakat kita mementingkan diri sendiri. Diri sendiri bermaksud, mahu memastikan diri, keluarga, dan kerjaya tidak diganggu-gugat demi memastikan kelangsungan hidup yang lebih bermakna.

                    Pada hemat saya, uslub yang prima ialah ibu bapa membawa anak untuk menyertai aktiviti kemasyarakatan. Yang dimaksudkan ialah aktiviti gotong-royong yang dianjurkan oleh komuniti, perjumpaan bulan komuniti dan sebagainya. Hal ini disebabkan oleh masyarakat biasanya sibuk akan kerja masing-masing. Aktiviti ini merupakan peluang keemasan untuk semua jiran berkumpul dan bekerjasama sambil berbincang tentang aktiviti yang akan dilakukan. Dalam konteks ini ibu bapa wajar membawa anak-anak menyertai aktiviti tersebut bersama-sama. Pada masa inilah, mereka akan saling membantu dan bersinergi untuk membersihkan kawasan taman perumahan dan menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara. Sebagai impaknya, masyarakat dapat berbual-bual dan berkenal-kenalan antara satu dengan yang lain Masyarakat juga dapat mengenal hati budi jiran mereka dengan lebih baik dan dekat melalui perbualan. Apabila kita berinteraksi dengan jiran, hubungan mesra sesama jiran akan terjalin serta ukhuwah yang kukuh dan ampuh akan dibentuk. Suasana yang harmoni dapat dibentuk dalam masyarakat. Sementara itu, kesihatan penduduk akan lebih terjamin kerana kebersihan asas kesihata. Taman perumahan kita tidak akan menjadi sekadar indah khabar daripada rupa. Hidup bermasyarakat mesti bantu-membantu bagai aur dengan tebing kerana komitmen semua jiran merupakan maha penting untuk menjayakan aktiviti ini. Hal ini jelas dinyatakan dalam peribahasa ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni. Seyogia, aktiviti gotong-royong haruslah diadakan selalu untuk memupuk semangat kejiranan yang semakin longgar itu.

                    Minhaj efektif yang seterusnya ialah majlis-majlis rumah terbuka patut diadakan. Hal ini membawa konotasi bahawa hubungan antara berbilang kaum patut dieratkan supaya kita dapat hidup bersama secara aman. Peristiwa 13 Mei 1969 yang mencatatkan titik hitam dalam sejarah perpaduan rakyat di Malaysia tidak harus dipantang enteng supaya pisang tidak berbuah dua kali. Peristiwa berdarah yang melibatkan rusuhan kaum pada masa itu telah membuktikan bahawa negara pasti akan musnah jika masyarakat tidak bersatu padu dan berpecah belah. Hal ini terjadi kerana rakyat merupakan akar tunjang, manakanla negara merupakan pohon yang tidak boleh berdiri tanpa akarnya yang kuat. Oleh hal yang demikian, sambutan Hari Raya Adilfitri, Tahun Baru Cina, Hari Krismas dan Hari Deepavali hendaklah dijadikan acara tahunan. Tamsilnya, ibu bapa boleh membawa anak-anak bersama untuk berkunjung ke rumah jiran tetangga. Sementara itu, kita boleh menikmati juadaha yang disediakan oleh tuan rumah sambil berkongsi pendapat tentang sesuatu perkara dan bertanya khabar. Natijahnya, kita dapat memahami adat resam, agama dan budaya masing-masing di negara ini dengan lebih mendalam. Selanjutnya, ikatan silaturahim dapat dibentuk dan semangat kejiranan dapat diperkukuh. Kita perlu mempelajari perbezaan budaya dan sensitiviti kaum lain kerana tak keal maka tak cinta bagi mengelakkan berlakunya pertelinkahan dan perselisihan faham. Sudah terang lagi bersuluh bahawa majlis-majlis rumah terbuka mestilah diadakan setiap tahun untuk merealisasikan hasrat untuk memupuk semangat kejiranan.

                   Selain majlis rumah terbuka, ibu bapa patut menyemarakkan budaya ziarah-menziarahi. Hal ini demikian kerana pembetukan sifat kasih sayang dan sikap ambil berat adalah signifikan untuk memupuk semangat kejiranan. Sejajar dengan itu, semangat kejiranan akan lebih mudah untuk disemai kerana mereka saling mengenali. Dalam hal ini, ibu bapa patut memawa anak-anak menziarahi jiran tetangga. Amsalnya, ibu bapa boleh membawa anak berkunjung ke hospital jika mendapat tahu jiran telah dimasukkan ke hospital. Ibu bapa juga boleh membawa buah tangan apabila melawat jiran kerana Hamka, penulis dan ulama terkenal Indonesia ada berkata bahawa kalau anda memberi sesuatu kepada jiranmu, bererti memberi sesuatu kepada dirimu sendiri. Dalam pada itu, kita hendaklah mengetahui masalah dan kesusahan yang dihadapi oleh jiran kita. Seterusnya, kita wajar baik hati dengan membantu mereka kerana pepatah Melayu menyatakan bahawa hulurkan tangan, ringankan beban. Sebagai akibatnya, penderitaan yang dialami oleh jiran dapat diringankan. Sementara itu, kemesraan dan suasana yang muhibah dapat diwujudkan. Janganlah kita bersikap individualistik dengan mementingkan diri sendiri bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Pada dasarnya, kita disarankan supaya sering mengunjungi rumah jiran apabila mempunyai masa senggang.

                   Masyarkat juga hendaklah mengadakan Hari Keluarga dengan jiran tetangga. Hal ini wujud akibat daripada aktiviti ini merupakan kunci kepada keharmonian dan keamanan. Selaras dengan itu, semua ahli keluarga jiran akan turut serta untuk melibatkan diri dalam aktivti. Dengan demikian, aktiviti yang dijalankan boleh diadakan di padang, taman rekreasi atau di tepi pantai. Dalam pada itu, ibu bapa wajar membawa anak-anak bersama-sama untuk mengambil bahagian. Justifikasinya, kita boleh melibatkan diri dengan aktiviti seperti berkayak, sukaneka dan pertandingan memasukkan air ke dalam botol. Sebagai kesannya, kemesraan akan terjalin bukan sahaja antara ibu dengan bapa, malah anak-anak juga. Tambahan pula, kerjasama antara keluarga dengan jiran dapat dikukuhkan. “Nafsi-nafsi, siapa lu siapa gua” dapat dielakkan dan mengembalikan kita kepada landasan sebenar. Kita juga akan lebih mempercayai jiran tetangga kita. Sikap yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing patut diamalkan supaya perpaduan antara jiran berkekalan. Fenomena ini boleh diperjelas melalui perumpamaan bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Izharnya, ibu bapa haruslah menggalakkan anak-anak supaya melibatkan diri dalam aktiviti sosial.


                   Setelah lebih separuh abad negara mencapai kemerdekaan, pelbagai kemajuan telah dapat dirasai. Kemajuan dalam aspek material dan fizikal adalah begitu hebat sekali. Walau bagaimanapun, kejayaan tersebut belum menutup ketempangan yang berlaku dalam aspek kejiranan. Para sarjana sosiologi berpendapat bahawa satu daripada keperluan penting manusia ialah keharmonian hidup bersama-sama jiran. Oleh hal yang demikian, semua pihak perlulah sedar bahawa kita tidak akan dapat hidup bebas dan harmoni selagi amalan kejiranan tidak disuburkan dalam kalangan masyarakat kita. Lantaran itu, masyarakat harus mempratikkan amalan ini sehingga ke generasi akan datang supaya amalan ini tidak ditelan zaman. Dalam mengutamakan hidup berjiran, berpeganglah kepada falsafah peribahasa, hidup bagai aur dengan tebing atau hidup ini sandar-menyadar ke gunung sama didaki, ke lurah sama dituruni dan senang sama dinikmati, sakit sama dirasai. Inilah situasi kehidupan yang menzahirkan kehamornian dan damai.

Karangan SPM Bahagian B- Semangat patriotik

Tema : Semangat patriotik [Soalan Percubaan SPM 2016]

Bentuk Soalan :

Yayasan Islam Kelantan
- 5. Anda telah membaca sebuah novel yang bertemakan semangat patriotik. Tulis sinopsis novel tersebut.

Melaka
- 3. Andan ingin menyertai pertandingan menulis esei bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan di tempat anda. Tajuk yang anda pilih ialah “ Ke Arah Melahirkan Patriotisme dalam Kalangan Masyarakat”. Tulis esei anda selengkapnya.

Terengganu
- 5. Membaca karya sastera seperti cerpen, novel, drama dan puisi boleh memupuk semangat cinta akan negara dalam kalangan murid. Bincangkan.

Sabah PDD (Kota Belud)
- 1. Semangat patriotik dalam kalangan remaja negara kita semakin luntur. Pada pendapat anda, apakah usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan remaja.

Pulau Pinang
- 1. Anda seorang warganegara yang mempunyai semangat cinta akan negara. Jelaskan cara-cara untuk menunjukkan semangat kecintaan terhadap negara anda.

Buku Kerja (m/s126) Tutor SPM (Edisi 35)
- 2. Semangat patriotik yang semakin luntur dalam kalangan remaja kini berpunca daripada kurangnya penekanan oleh ibu bapa. Huraikan langkah-langkah yang boleh dilakukan oleh ibu bapa untuk menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak.


Peranan ibu bapa untuk menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak.

                 Sebagai apresiasi awal, izinkanlah saya memetik serangkap daripada lagu patriotik, “Malaysia Oh Tanah Airku” seperti liriknya yang berikut ini :

Malaysia oh tanah airku
Tanah tempat tumpah darahku
Negeri elok amat kucinta
Yang kupuja sepangjang masa

                 Demikianlah sebuah penglahiran lagu yang memaparkan imej Malaysia sebagai sebuah negara yang dicintai. Malaysia sebuah negara yang cukup harmoni, sama ada aspek landskapnya, lokasi dan kemajuannya dalam segala bidang. Setiap negara mempunyai sejarah yang tersendiri. Di Malaysia, sejarah yang ada telah membentuk identiti negara kita. Negara kita terdiri daripada rakyat yang berbilang kaum iaitu Melayu, Cina, India, Kadazan, Dusun dan sebagainya. Perpaduan kaum yang terbentuk pada zaman dahulu sehingga kini merupakan satu pencapaian negara yang amat membanggakan. Dalam konteks ini, saya juga amat teruja dan berbangga dengan Malaysia yang amat fantastik ini. Rakyat yang berbilang kaum ini dapat hidup bersama secara aman damai kerana mereka mempunyai semangat patriotik yang kukuh, kental dan mantap dalam diri mereka. Oleh hal yang demikian, sebagai seorang warganegara yang tinggi nilai patriotiknya amat wajar melahirkan perasaan bangga akan tanah airnya yang tercinta. Persoalannya, apakah peranan ibu bapa dalam menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak?


                  Sudah terang lagi bersuluh,peranan ibu bapa untuk memastikan anak-anak lebih menghayati semangat patriotik ialah ibu bapa perlu membelikan anak-anak buku-buku yang bercorak sejarah sejak kecil lagi. Hal ini kerana,mereka serba sedikit mula berfikir tentang bahan yang dibacanya. Tidaklah rugi sekiranya mendedahkan mereka dengan perkara sebegini sejak kecil sebaliknya ini adalah satu langkah efektif yang boleh dilakukan kepada anak-anak. Tidak dapat dinafikan bahwa berkemungkinan besar mereka tidak akan begitu memahami apa-apa yang dibacanya tetapi tidak mengapa asalkan mereka sudah diberi pendedahan dan lambat laun apabila sudah semakin besar kelak,mereka akhirnya akan memahami bahan bacaannya dengan lebih terperinci untuk memastikan anak-anak tidak mengalami kebosanan apabila membaca kisah semangat patriotik, ibu bapa bolehlah membacanya bersama-sama anak-anak. Hal ini bertepatan dengan aforisme,meluntur bulu biarlah dari rebungnya. Oleh itu, ibu bapa tidak seharusnya cepat berputus asa malah meneruskan usahanya sedikit demi sedikit tanpa sebarang rungutan di hadapan anak-anak yang kian membesar dan memahami. Sekiranya ibu bapa berjaya melaksanakan usaha sedemikian,nescaya apabila anak-anak sudah bergelar remaja mereka akan lebih memahami soal semangat patriotik dan akan menghormatinya.


                Memetik wasitah nirmala seterusnya, ibu bapa perlu menunjukkan contoh teladan yang baik terhadap anak-anak. Hal ini kerana, sekiranya ibu bapa mengamalkan semangat patriotik nescaya anak-anak akan mengikut jejak langkah mereka.Hal ini bertepatan dengan peribahasa Melayu, air perabung mengalir ke cucur atap. Ibu bapa boleh menarik perhatian anak-anak kepada unsur patriotisme. Harus diingatkan juga bahawa anak-anak tidak akan melakukan sebarang perkara di luar jangkaan. Sebagai contoh,memijak dan membakar bendera dan sebagainya. Pemantauan ibu bapa boleh dianalogikan seperti sayap yang sentiasa melindungi badannya. Menurut Dato’ Dr Hj. Fadzillah Kamsah, ibu bapa yang bijak dalam membimbing dan mengatur hidup anak-anak serta berjaya mengawasi anak-anak mereka akan melahirkan sikap anak-anak yang mulia dan sentiasa bertanggungjawab. Sekiranya,ibu bapa berjaya menjadikan dirinya sebagai ikon kepada anak-anak, nescaya semangat patriotik ini dapat diserap dan dihayati dalam diri anak-anak.


                Walakin, ibu bapa juga boleh menggalakkan dan membawa anak-anak menyertai pertandingan yang berunsurkan semangat patriotisme. Misalnya seperti kuiz sejarah yang menyatakan dan memajukan soalan yang berkaitan tokoh-tokoh negara, nama pemimpin-pemimpin negara, peristiwa bersejarah negara Malaysia dan sebagainya. Selain itu, ibu bapa perlu membawa anak-anak untuk menyertai pertandingan pidato yang berhubunh tentang kenegaraan atau forum perdana.Hal ini kerana, anak-anak akan lebih berusaha untuk mencari jawapan mahupun maklumat yang berkaitan dengan patriotik. Hal ini sekali gus membawa anak-anak mahupun remaja mendalami sejarah negara dan sebarang peristiwa yang pernah berlaku di negara kita suatu ketika dahulu. Kesan daripada penglibatan mereka dalam perkara sebegini adalah dapat meningkatkan daya pemikiran dan tahap opengetahuan mereka. Tugas mereka di bumi Malaysia ini ialah untuk menjadi seorang individu yang sentiasa bertanggungjawab dan mempunyai nilai kesedaran yang tinggi dalam diri mereka. Mereka juda perlu menerima sebarang kemajuan dan sentiasa berfikiran terbuka dalam perkara yang positif. Janganlah mereka menjadi seperti sepuluh jong masuk kuala anjing tetap bercawat ekor. Oleh itu, para remaja seharusnya mulai sedarakan semangat patriotik di dalam diri masing-masing supaya hidup akan lebih mengingati jasa dan pengorbanan orang terdahulu.


                 Selain itu, ibu bapa juga seharusnya membawa anak-anak menghadiri kempen yang berkaitan dengan patriotisme. Sebagai contoh, kempen yang mempamerkan gambar-gambar tokoh negara,pejuang-pejuang tanah air, risalah yang menceritakan soal tanah Melayu dahulunya dijajah oleh kuasa luar dan sebagainya. Hal ini kerana, akan wujud keinsafan yang ikhlas dalam diri anak-anak. Cukup sekadar mereka memahami dan menghormati semangat patriotik sudah jelas melahirkan mereka sebagai seorang insan yang berguna dan bertanggungjawab demi menjaga keamanan negara. Selain itu,apabila tiba hari kemerdekaan,ibu bapa boleh membawa anak-anak menghadirinya dan meraikannya diri dalam sebarang aktiviti pada Hari Kemerdekaan seperti perarakan, kibaran jalur gemilang,pembentukan logo dan sebagainya. Pemimpin negara yang mesra rakyat seperti Dato’ Seri Mohd Najib Bin Tun Hj Abdul Razak juga telah menarik minat para remaja yang semakin mencintai negara Malaysia dan berjaya menyematkan semangat patriotik dalam diri mereka. Oleh itu, amatlah penting bagi semua pihak untuk berganding bahu dan menyemarakkan semangat patriotik dalam diri mereka.



                    Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Hadis Riwayat At-Tarmizi ada menyatakan  bahawa ‘tiada anugerah yang dapat diberikan oleh seorang ayah kepada anaknya selain tunjuk ajar dan budi pekerti yang mulia’. Benarlah hakikat yang menyatakan subur pokok kerana tanahnya, justeru subur manusia kerana induknya. Anak yang baik dan terdidik adalah yang datang daripada ibu bapa yang sentiasa berpandangan jauh. Hal ini amat jelas membuktikan betapa besarnya tanggungjawab seorang ibu atau bapa kepada pembinaan personaliti anak-anak. Seperti yang terkandung dalam pepatah Melayu "bersatu kita teguh, bercerai kita roboh", semangat perpaduan yang menjadi panduan hidup anak watan merupakan inti kepada pembentukan masyarakat sakinat dan harmoni. Oleh itu, demi kelangsungan sebuah negara yang berdaulat, justeru kepemimpinan yang beralih tangan dari generasi ke generasi hendaklah ditunjangi oleh warga yang bersemangat patriotik. Dalam hal ini, ibu bapalah yang menjadi sekolah dan universiti terulang untuk membentuk semangat patriotik dalam kalangan anak-anak. Untuk merealisasikan matlamat ini , iaitu membentuk masyarakat sakinat dan mengecapi perpaduan antara kaum , segenap lapisan masyarakat sayugialah bersinergi bagai aur dengan tebing dan jangan sekali-kali bernafsi-nafsi bagai enau dalam belukar , melepaskan pucuk masing-masing . Sebagai intihanya , iltizam dan komitmen masyarakat amatlah vital dan berperanan signifikan .

Karangan SPM Bahagian B- Kepentingan amalan menabung

Tema : Amalan menabung [Soalan Percubaan SPM 2016]
Bentuk Soalan :
Kedah
- 5. Peribahasa-peribahasa di atas menjelaskan bahawa amalan menabung sangat penting. Bincangkan faedah-faedah amalan menabung dalam kehidupan.
Kelantan
- 3. Menabung merupakan amalan terpuji untuk melahirkan masyarakat yang berjimat cermat. Huraikan langkah-langkah menggalakkan amalan menabung dalam kalangan masyarakat.
Melaka
- 2. Menabung amat penting untuk menjamin kehidupan pada masa hadapan. Apakah peranan ibu bapa dalam memastikan amalan menabung menjadi budaya masyarakat kita?
Buku kerja (m/s24)
- 2. Amalan menabung dan berjimat cermat perlu disemai sejak anak-anak masih kecil lagi. Amalan tersebut diharapkan berterusan sehingga mereka dewasa. Berdasarkan pernyataan di atas, anda diminta menemu ramah seseorang tokoh berkaitan dengan topik tersebut.
Tutor SPM (Edisi 27)
-Manfaat menabung.
Soalan KLON SPM
-Amalan berjimat-cermat amat penting dalam menghadapi krisis ekonomi hari ini. Berikan pendapat anda tentang peranan keluarga dalam memupuk amalan berjimat cermat.

Kepentingan amalan menabung

                    “Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit.” Apabila mendengar sahaja peribahasa di atas, pasti tergambar dalam fikiran kita bahawa peribahasa itu amat sinonim dengan perbuatan menabung. Cuba kita berfikir sejenak, apakah itu menabung? Menabung merupakan perbuatan yang mulia dan dapat ditakrifkan sebagai mengasingkan sejumlah wang demi menjamin masa depan seseorang. Namun begitu, dalam era pascaglobalisasi ini kesedaran untuk menabung semakin menyusut dalam kalangan masyarakat kita khususnya bagi golongan remaja. Para cendekiawan memfasiqkan bahawa wang bukan segala-galanya, tetapi tidak dinafikan dengan wang kita dapat melakukan segala-galanya. Peribahasa tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata amat tepat untuk menyokong pendapat tersebut. Kini, terdapat pelbagai cara yang dapat kita lakukan untuk menabung. Kita boleh menabung di bank-bank tempatan yang banyak terdapat di negara kita atau melabur dalam saham-saham yang dijamin oleh kerajaan. Sememangnya, amalan baik ini haruslah dididik oleh ibu bapa sejak setahun jagung kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Izharnya, amalan menabung ini mendatangkan banyak faedah bukan sahaja kepada individu yang melakukannya tetapi juga terhadap masyarakat dan negara.

                   Pada hemat saya, kepentingan primanya ialah para pelajar dapat menyambung pelajaran dengan menggunakan wang tabungan sekiranya diperlukan. Hal ini demikian kerana kos pengajian di peringkat universiti semakin meningkat. Bagi golongan miskin pula, wang pendaftaran sesi pengajian sahaja pun sukar untuk dibayar. Jika kita menabung, kita dapat menampng perbelanjaan persekolahan lain, seperti membeli buku-buku rujukan, membayar yuran sekolah dan yuran kelas bimbingan luar. Dalam hal ini, kita wajarlah membuka akaun di bank dengan bantuan daripada ibu bapa. Di sampng itu, kita haruslah menabung dalam jumlah yang konsisten setiap bulan dan wang simpanan ini tidak dibelanjakan untuk kepentingan peribadi. Sikap boros dan berbelanja pada perkara yang tidak perlu haruslah dielakkan sama sekali. Natijahnya, kita tidak perlu bersandar pada ibu bapa ataupun pada kerajaan untuk mendapatkan bantuan kewangan ataupun biasiswa demi mengongkosi pengajian kita di menara gading nanti. Dewasa ini, banyak pelajar cemerlang yang menggantungkan harapan pada biasiswa tajaan JPA dan pada pinjaman PTPTN. Apabila gagal beroleh bantuan kewangan, mereka pun seolah-olah kaca terhempas ke batu. Melalui amalan menabung, ibu bapa kita tidak perlu bergolok bergadai untuk membiayai kos pelajaran anak-anak yang mahal sekali. Orang tua-tua pernah berkata bahawa sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna haruslah menjadi pedoman dalam amalan ini. Ringkasnya, kehidupan masa hadapan lebih terjamin dengan pembelajaran sepanjang hayat dijadikan landasan untuk berjaya sekiranya ada tabungan yang mencukupi.

                   Faedah kedua sekiranya seseorang itu melakukan tabungan ialah wang tabungan itu dapat digunakan pada waktu kecemasan. Dana kecemasan ini cukup penting terutamanya buat individu yang sudah berkeluarga. Dana kecemasan biasanya merupakan satu dana yang disimpan untuk membiayai perbelanjaan di luar jangkaan. Peribahasa Melayu ada mengatakan bahawa malang tidak berbau, nasib buruk seseorang itu sukar dijangkakan oleh sesiapa. Oleh itu, wang yang ditabung dapat membantu orang yang berada dalam keadaan susah sebagai sumber kewangan. Misalnya, semasa dalam masalah kesihatan, ditimpa bencana alam dan tragedi kemalangan jalan raya. Sudah pasti wang tabungan itu amat berguna untuk tujuan rawatan. Sebagai impaknya, wang tersebut juga boleh membantu keluarga dan saudara kita apabila kecemasan berlaku. Dalam erti kata yang lain, wang tersebut dapat memudahkan segala urusan pada masa hadapan. Hal ini jelas dinyatakan dalam peribahasa sediakan payung sebelum hujan dan beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis. Hakikatnya, amalan menabung merupakan persediaan kita untuk menghadapi saat-saat kecemasan yang tidak dapat dijangka oleh akal sama sekali.
  
                   Selain digunakan untuk waktu kecemasan, kebaikan amalan menabung yang seterusnya ialah dapat melahirkan insan yang menyemai tabiat berjimat cermat. Tegasnya kepada kita bahawa orang yang sering mengalami kesempitan wang tidak berhemat dalam berbelanja. Selain itu, kita juga amat susah untuk menyimpan wang sehinggakan kita terpaksa mengikat perut pada akhir bulan kerana sikap boros berbelanja. Dengan itu, sikap boros berbelanja ini sepatutnya diganti dengan didikan dan amalan menabung. Selaras dengan itu, kita juga wajarlah mengelakkan sikap suka berhutang dalam kalangan masyarakat. Menurut Dato Michael Chong, kita tidak perlu “mengemis” dan menjadi mangsa ceti haram kerana lintah darat ini memang menangguk di air keruh dan menjadi duri dalam daging dalam kehidupan kita. Seterusnya, kita juga digalakkan untuk merekod sesuatu perbelanjaan untuk megenal pasti wang yang kita belanjakan itu. Sebagai kesannya, kita dapat mengelakkan diburu pemiutang atau diisytiharkan muflis apabila gagal membayar hutang. Sementara itu, sikap boros juga tidak akan berlaku dalam perbelanjaan seharian kita. Sudah terang lagi bersuluh bahawa sikap berhemah dan bijak mengurus kewangan dalam diri sendiri akan dapat dipertingkatkan dengan amalan menabung.
                   Amalan menabung juga penting untuk kelangsungan hidup pada hari tua nanti. Hal ini berpunca daripada masalah kesihatan pada hari tua tidak dapat dijangkakan oleh sesiapa. Oleh itu, kita perlu menyimpan wang dari awal dan tidak boleh menunggu sehingga waktu yang sesuai. Victor Hugo ada berkata bahawa orang yang menabung itu bagaikan bintang di langit. Seseorang yang menabung lebih awal maka wang simpanannya akan menjadi lebih banyak. Kehidupan kita pada hari tua akan menjadi lebih selesa apabila tiada masalah kewangan kerana kita mendapat rawatan yang baik dan sempurna. Wang yang ditabung ini amat penting digunakan untuk kos perubatan dan sara hidup kerana sudah tidak bekerja. Amalan menabung sebenarnya mampu menjamin kestabilan hidup kita di dunia. Di samping itu, kemaslahatan diri dan keluarga akan terpelihara melalui amalan menabung. Amalan menabung bertepatan dengan peribahasa, sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit yang mengatakan kemaslahatan menabung. Kata aforisme bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian haruslah menjadi panduan dalam mengamalkan amalan menabung. Tegasnya, masa depan kita untuk hari tua akan lebih terjamin apabila menabung.      


                   Akhirulkalam, amalan menabung memberikan pelbagai manfaat kepada umat manusia sekiranya diurus secara bijak dan berhemat. Dengan itu, kita sebagai rakyat Malaysia perlulah berfikiran positif untuk memastikan amalan menabung menjadi rutin hidup seluruh masyarakat Malaysia. Perjalanan seribu batu bermula dari satu langkah, yang pipih tidak datang melayang, yang bulat tidak datang bergolek dan tidak ada gunung tinggi yang tidak dapat didaki, tidak ada luruh dalam yang tidak dapat dituruni. Sikap bersungguh-sungguh yang berpegang kepada peribahasa Melayu, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan dan kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya perlu ada dalam diri untuk merealisasikan amalan menabung sebagai budaya kerana genggam bara api, biar sampai jadi arang. Kesabaran dan ketekunan dapat mendaki gunung-ganang. Seterusnya, kita wajarlah bijak merancang kewangan hidup kita dengan mengamalkan budaya menabung wang sejak setahun jagung lagi supaya dapat merealisasikan impian diri sendiri malahan negara. Kita juga perlu merenungi faedah-faedah amalan menabung dan menjadikan amalan tersebut sebagai agenda utama dalam kamus hidup kita. 

Karangan SPM Bahagian B- Kepentingan kokurikulum

Tema : Aktiviti kokurikulum [Soalan Percubaan SPM 2016]

Bentuk Soalan :

PDD Mersing
- 1. Nilai berdisiplin dalam kalangan pelajar mampu dipupuk melalui aktiviti kokurikulum. Selain dapat memenuhi masa lapang, aktiviti kokurikulum juga dapat meningkatkan semangat bekerjasama, nilai kepimpinan dan sebagainya. Bincangkan.

MRSM
- 1. Aktiviti kokurikulum seperti sukan, kem kepimpinan dan program kerohanian merupakan aspek penting dalam melahirkan remaja yang serba boleh. Huraikan kepentingan-kepentingan tersebut.

Terengganu
- 1. Terdapat sebilangan murid, ibu bapa dan masyarakat hanya mementingkan pencapaian akademik dengan meminggirkan aktiviti kokurikulum di sekolah. Sebagai seorang murid, huraikan pendapat anda untuk menyakinkan semua pihak bahawa kegiatan kokuriulum banyak faedahnya kepada murid-murid dan tidak wajar diketepikan di sekolah.

Buku kerja (m/s 24)
- 1. Ibu bapa sekarang lebih mementingkan pencapaian akademik anak-anak mereka. Ibu bapa tidak memberikan galakan kepada anak-anak dalam aktiviti kokurikulum terutamanya sukan. Huraikan pendapat anda tentang peranan ibu bapa menggalakkan anak-anak menceburi bidang sukan.

Tutor SPM (Edisi 12)
-Penglibatan pelajar dalam kegiatan kokurikulum dapat membina penampilan diri, daya kepimpinan, disiplin diri yang tinggi, perpaduan dan pelbagai sifat yang positif dalam kalangan pelajar. Ulaskan pernyataan di atas.

Kepentingan kokurikulum      


                    Bidang kurikulum dan kokurikulum saling berkait rapat bagai isi dengan kuku, sekali gus menjadi teras bagi meningkatkan keupayaan dan kebolehan pelajar mencapai kecemerlangan yang seimbang dalam kedua-dua bidang tersebut. Secara amnya, kokurikulum merupakan aktiviti dan pengalaman pendidikan yang dilaksanakan di luar bilik darjah atau secara tidak formal.  Dalam konteks ini, Falsafah Pendidikan Negara (FPN) telah menegaskan bahawa setiap individu pelajar hendaklah dididik agar seimbang dan harmonis dalam aspek jasmani, rohani, emosi dan intelek. Bagi merealisasikan hasrat tersebut, komponen dalam pendidikan nasional telah memberikan penekanan dalam dua aspek yang utama iaitu kurikulum dan kokurikulum. Kurikulum bermatlamat membangunkan ummah yang berminda kelas pertama, sementara kokurikulum pula sebagai pelengkap keterampilan fizikal, emosi dan sahsiah pelajar. Kebergantungan kepada kurikulum semata-mata, apatah lagi berorientasikan pencapaian cemerlang menerusi peperiksaan tidak akan memenuhi tuntutan Falsafah Pendidikan Negara secara total. Berdasarkan pernyataan tersebut, saya bersetuju bahawa penglibatan yang aktif dalam aktiviti kokurikulum pasti menatijahkan pelbagai impak positif kepada anak-anak muda negara. Bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta. Jadi, pelbagai manfaat program kokurikulum akan dibincangkan untuk renungan kita bersama.         

                    Daya kepimpinan merupakan ciri perwatakan yang amat berguna akan diperoleh remaja apabila bergiat aktif dalam aktiviti kokurikulum. Daya kepimpinan merupakan aset yang penting untuk seseorang itu diterima dalam masyarakat, dihormati, dan diberikan kepercayaan untuk memimpin. Hal ini amatlah mustahak kerana seseorang pemimpin perlulah memiliki keyakinan diri yang tinggi, berfikiran positif dan matang. Dengan menyertai aktiviti kokurikulum, semua bakat istimewa sebagai pemimpin berjaya dibentuk melalui kegiatan berpersatuan. Kegiatan kokurikulum merupakan wadah kepada generasi pelajar untuk memimpin atau mengetuai sesuatu pertubuhan. Tamsilnya, pelajar yang pernah memimpin sesuatu pertubuhan seperti pengakap, kadet remaja, dan sebagainya, mereka akan lebih yakin untuk menjadi pemimpin sesuatu organisasi pada suatu hari nanti. Situasi ini memberi mereka suatu keyakinan yang mantap terhadap kemampuan diri untuk melayari bahtera kehidupan di lautan yang senantiasa bergelora ini. Dengan itu, seseorang itu dapat membantu diri sendiri untuk mengorak langkah ke hadapan dan berdiri sebaris dengan nama-nama yang tersohor di persada negara, seperti Datuk Michelle Yeoh, Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Misbun Sidek. Hal ini seiring dengan kata pepatah, belakang parang kalau diasah lagikan tajam. Demikianlah nilai kepimpinan yang harus ada pada setiap invididu bak kata pepatah, kok kaya tumpang hartanya, kok cerdik tumpang akalnya.


                  Selain itu, penglibatan dalam aktiviti kokurikulum turut memberi impak mengeratkan perpaduan dalam masyarakat pelbagai kaum. Semangat perpaduan merupakan elemen penting dalam mewujudkan negara yang aman dan makmur. Dalam konteks masyarakat majmuk seperti Malaysia, perpaduan menjadi penawar yang paling mujarab bagi mengelak sebarang prasangka dana adu domba. Penglibatan dalam aktiviti kokurikulum akan mewujudkan perpaduan, hubungan mesra, setia kawan, dan toleransi dalam kalangan masyarakat majmuk. Semangat perpaduan dapat dipupuk apabila pelajar berbilang kaum bekerjasama bagai aur dengan tebing dalam sesuatu kegiatan. Sebagai contohnya,  pelajar berbilang kaum mewakili pasukannya untuk bertanding dalam acara sukan yang diadakan pada setiap tahun seperti pertandingan dalam pasukan bola sepak boleh dijadikan jambatan untuk mempererat hubungan silaturahim ibarat isi dengan kukuh. Secara implisit, mereka dapat bersatu untuk mencapai matlamat yang diharapkan kerana bersatu teguh, bercerai roboh. Inilah satu jaminan untuk melahirkan masyarakat yang harmoni dan bersatu di bawah payung sebuah negara yang sejahtera. Jelaslah bahawa pelajar-pelajar yang selalui aktif dalam aktiviti kokurikulum biasanya lebih cepat mesra, bertolak ansur dan berfikiran terbuka.


                    Di samping itu, impak lain yang bakal diperoleh melalui penglibatan dalam kokurikulum adalah dapat membina prinsip dan disiplin diri yang teguh. Disiplin merupakan anak kunci kepada semua kejayaan. Berdasarkan pengalaman tokoh-tokoh ternama, kejayaan mereka berada di puncak kegemilangan adalah didorong oleh disiplin yang ketat. Sememangnya, unsur inilah yang mahu diperkasarkan ke dalam diri remaja paabila mereka terlibat dalam aktiviti kokurikulum. Para pelajar yang menyertai kokurikulum akan dikehendaki patuh kepada ketepatan masa, menjalankan tugas mengikut peraturan, menghormati pemimpin,  dan perlu merancang sesuatu aktiviti dengan baik. Maka, para pelajar dapat dilatih menjadi lebih berdisiplin dan mampu menjalani dunia kehidupan seharian dengan betul, yakin dan bertanggungjawab. Jika berdisiplin, seseorang pelajar itu mampu merancang masa depannya dengan kejayaan pada suatu hari nanti. Sikap menepati masa pula dapat melatih seseorang itu untuk menguruskan masa secara bijak supaya sesuatu tugasan yang diamanahkan dapat disempurnakan pada masa yang tepat. Sudah terang lagi bersuluh bahawa aktiviti kokurikulum boleh dijadikan platform untuk melahirkan remaja yang teguh jati diri dan berdisiplin.

                    Dari uslub yang lain, penglibatan yang aktif dalam aktiviti kokurikulum akan dapat melahirkan pelajar yang sihat fizikal dan mental. Pelajar yang menghadapi era persekolahan zaman ini memang penuh halangan, jadi, pembabitan dalam kokurikulum mampu mengurangkan tekanan ini. Kegiatan yang dijalankan itu mampu mengalih fikiran pelajar sejenak daripada persiapan peperiksaan mereka yang penuh dengan penghafalan dan membuat latihan, serta ulangkaji pelajaran. Keadaan ini mampu mencetus fenomena yang segar kepada pelajar untuk belajar. Selain itu, pelajar tidak lagi tertekan kerana hanya menjadi ulat buku sebaliknya dapat meluahkan tekanan ketika bersukan. Bukan itu sahaja, aktiviti sukan dan permainan seperti bola sepak dapat membina keku atan stamina, manakala sukan catur pula dapat mencerdaskan minda seseorang. Pepatah Melayu mengatakan bahawa badan cergas, otak cerdas. Jelaslah bahawa minda mereka dapat berehat sebentar apabila melakukan aktiviti yang berbeza iaitu kegiatan kokurikulum. Pada waktu yang sama, penglibatan pelajar memastikan mereka tidak terjebak ke dalam kegiatan yang tidak sihat dan tidak bermoral seperti bergentayangan di pusat beli-belah, terlibat dalam jenayah, penyalahgunaan dadah dan maksiat.  Ringkasnya, nilai diri seseorang itu akan dilihat daripada kehebatan susuk tubuhnya, minda yang cerdas dan emosi yang harmoni.
                  
                   Akhirulkalam, dapat saya simpulkan bahawa program kokurikulum merupakan wadah yang mengandungi 1001 kelebihan. Saya berpendapat bahawa program kokurikulum merupakan satu medium yang dapat melahirkan insan yang bersifat dinamik dan dapat menjana pemikiran secara kritis dan inovatif. Progam ini juga mendidik seseorang itu untuk terus berusaha dan berkeyakinan dalam mencapai cita-cita yang diidamkan ibarat pepatah Melayu, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan, dan kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Tokoh falsafah ada mengatakan bahawa kejayaan sesuatu bangsa itu adalah bergantung kepada kualiti rakyatnya yang sentiasa berfikiran positif dan dinamik. Oleh hal yang demikian, dalam usia remaja, rakyat perlulah dididik dengan nilai-nilai jati diri dan serba boleh. Selain itu, kerjasama daripada semua pihak khususnya ibu bapa harus diperkukuh supaya segal aktiviti yang dirancang dapat dilaksanakan kerana peribahasa Melayu ada mengatakan bahawa hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah. Justeru, para pelajar yang berada di bangku sekolah hendaklah menjadi aktiviti kokurikulum sebagai platform untuk mendidik mereka menjadi insan yang berguna kepada negara, bangsa, dan agama. Tegasnya, aktiviti kokurikulum haruslah dipantau dan dijalankan di setiap sekolah tanpa gagal dalam usaha kita untuk melahirkan generasi pelajar yang bakal memangkinkan pembangunan bangsa dan negara selaras dengan gagasan perdana negara, iaitu Gagasan Satu Malaysia.