2017年2月2日星期四

Karangan SPM Bahagian B- Kepentingan kokurikulum

Tema : Aktiviti kokurikulum [Soalan Percubaan SPM 2016]

Bentuk Soalan :

PDD Mersing
- 1. Nilai berdisiplin dalam kalangan pelajar mampu dipupuk melalui aktiviti kokurikulum. Selain dapat memenuhi masa lapang, aktiviti kokurikulum juga dapat meningkatkan semangat bekerjasama, nilai kepimpinan dan sebagainya. Bincangkan.

MRSM
- 1. Aktiviti kokurikulum seperti sukan, kem kepimpinan dan program kerohanian merupakan aspek penting dalam melahirkan remaja yang serba boleh. Huraikan kepentingan-kepentingan tersebut.

Terengganu
- 1. Terdapat sebilangan murid, ibu bapa dan masyarakat hanya mementingkan pencapaian akademik dengan meminggirkan aktiviti kokurikulum di sekolah. Sebagai seorang murid, huraikan pendapat anda untuk menyakinkan semua pihak bahawa kegiatan kokuriulum banyak faedahnya kepada murid-murid dan tidak wajar diketepikan di sekolah.

Buku kerja (m/s 24)
- 1. Ibu bapa sekarang lebih mementingkan pencapaian akademik anak-anak mereka. Ibu bapa tidak memberikan galakan kepada anak-anak dalam aktiviti kokurikulum terutamanya sukan. Huraikan pendapat anda tentang peranan ibu bapa menggalakkan anak-anak menceburi bidang sukan.

Tutor SPM (Edisi 12)
-Penglibatan pelajar dalam kegiatan kokurikulum dapat membina penampilan diri, daya kepimpinan, disiplin diri yang tinggi, perpaduan dan pelbagai sifat yang positif dalam kalangan pelajar. Ulaskan pernyataan di atas.

Kepentingan kokurikulum      


                    Bidang kurikulum dan kokurikulum saling berkait rapat bagai isi dengan kuku, sekali gus menjadi teras bagi meningkatkan keupayaan dan kebolehan pelajar mencapai kecemerlangan yang seimbang dalam kedua-dua bidang tersebut. Secara amnya, kokurikulum merupakan aktiviti dan pengalaman pendidikan yang dilaksanakan di luar bilik darjah atau secara tidak formal.  Dalam konteks ini, Falsafah Pendidikan Negara (FPN) telah menegaskan bahawa setiap individu pelajar hendaklah dididik agar seimbang dan harmonis dalam aspek jasmani, rohani, emosi dan intelek. Bagi merealisasikan hasrat tersebut, komponen dalam pendidikan nasional telah memberikan penekanan dalam dua aspek yang utama iaitu kurikulum dan kokurikulum. Kurikulum bermatlamat membangunkan ummah yang berminda kelas pertama, sementara kokurikulum pula sebagai pelengkap keterampilan fizikal, emosi dan sahsiah pelajar. Kebergantungan kepada kurikulum semata-mata, apatah lagi berorientasikan pencapaian cemerlang menerusi peperiksaan tidak akan memenuhi tuntutan Falsafah Pendidikan Negara secara total. Berdasarkan pernyataan tersebut, saya bersetuju bahawa penglibatan yang aktif dalam aktiviti kokurikulum pasti menatijahkan pelbagai impak positif kepada anak-anak muda negara. Bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta. Jadi, pelbagai manfaat program kokurikulum akan dibincangkan untuk renungan kita bersama.         

                    Daya kepimpinan merupakan ciri perwatakan yang amat berguna akan diperoleh remaja apabila bergiat aktif dalam aktiviti kokurikulum. Daya kepimpinan merupakan aset yang penting untuk seseorang itu diterima dalam masyarakat, dihormati, dan diberikan kepercayaan untuk memimpin. Hal ini amatlah mustahak kerana seseorang pemimpin perlulah memiliki keyakinan diri yang tinggi, berfikiran positif dan matang. Dengan menyertai aktiviti kokurikulum, semua bakat istimewa sebagai pemimpin berjaya dibentuk melalui kegiatan berpersatuan. Kegiatan kokurikulum merupakan wadah kepada generasi pelajar untuk memimpin atau mengetuai sesuatu pertubuhan. Tamsilnya, pelajar yang pernah memimpin sesuatu pertubuhan seperti pengakap, kadet remaja, dan sebagainya, mereka akan lebih yakin untuk menjadi pemimpin sesuatu organisasi pada suatu hari nanti. Situasi ini memberi mereka suatu keyakinan yang mantap terhadap kemampuan diri untuk melayari bahtera kehidupan di lautan yang senantiasa bergelora ini. Dengan itu, seseorang itu dapat membantu diri sendiri untuk mengorak langkah ke hadapan dan berdiri sebaris dengan nama-nama yang tersohor di persada negara, seperti Datuk Michelle Yeoh, Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Misbun Sidek. Hal ini seiring dengan kata pepatah, belakang parang kalau diasah lagikan tajam. Demikianlah nilai kepimpinan yang harus ada pada setiap invididu bak kata pepatah, kok kaya tumpang hartanya, kok cerdik tumpang akalnya.


                  Selain itu, penglibatan dalam aktiviti kokurikulum turut memberi impak mengeratkan perpaduan dalam masyarakat pelbagai kaum. Semangat perpaduan merupakan elemen penting dalam mewujudkan negara yang aman dan makmur. Dalam konteks masyarakat majmuk seperti Malaysia, perpaduan menjadi penawar yang paling mujarab bagi mengelak sebarang prasangka dana adu domba. Penglibatan dalam aktiviti kokurikulum akan mewujudkan perpaduan, hubungan mesra, setia kawan, dan toleransi dalam kalangan masyarakat majmuk. Semangat perpaduan dapat dipupuk apabila pelajar berbilang kaum bekerjasama bagai aur dengan tebing dalam sesuatu kegiatan. Sebagai contohnya,  pelajar berbilang kaum mewakili pasukannya untuk bertanding dalam acara sukan yang diadakan pada setiap tahun seperti pertandingan dalam pasukan bola sepak boleh dijadikan jambatan untuk mempererat hubungan silaturahim ibarat isi dengan kukuh. Secara implisit, mereka dapat bersatu untuk mencapai matlamat yang diharapkan kerana bersatu teguh, bercerai roboh. Inilah satu jaminan untuk melahirkan masyarakat yang harmoni dan bersatu di bawah payung sebuah negara yang sejahtera. Jelaslah bahawa pelajar-pelajar yang selalui aktif dalam aktiviti kokurikulum biasanya lebih cepat mesra, bertolak ansur dan berfikiran terbuka.


                    Di samping itu, impak lain yang bakal diperoleh melalui penglibatan dalam kokurikulum adalah dapat membina prinsip dan disiplin diri yang teguh. Disiplin merupakan anak kunci kepada semua kejayaan. Berdasarkan pengalaman tokoh-tokoh ternama, kejayaan mereka berada di puncak kegemilangan adalah didorong oleh disiplin yang ketat. Sememangnya, unsur inilah yang mahu diperkasarkan ke dalam diri remaja paabila mereka terlibat dalam aktiviti kokurikulum. Para pelajar yang menyertai kokurikulum akan dikehendaki patuh kepada ketepatan masa, menjalankan tugas mengikut peraturan, menghormati pemimpin,  dan perlu merancang sesuatu aktiviti dengan baik. Maka, para pelajar dapat dilatih menjadi lebih berdisiplin dan mampu menjalani dunia kehidupan seharian dengan betul, yakin dan bertanggungjawab. Jika berdisiplin, seseorang pelajar itu mampu merancang masa depannya dengan kejayaan pada suatu hari nanti. Sikap menepati masa pula dapat melatih seseorang itu untuk menguruskan masa secara bijak supaya sesuatu tugasan yang diamanahkan dapat disempurnakan pada masa yang tepat. Sudah terang lagi bersuluh bahawa aktiviti kokurikulum boleh dijadikan platform untuk melahirkan remaja yang teguh jati diri dan berdisiplin.

                    Dari uslub yang lain, penglibatan yang aktif dalam aktiviti kokurikulum akan dapat melahirkan pelajar yang sihat fizikal dan mental. Pelajar yang menghadapi era persekolahan zaman ini memang penuh halangan, jadi, pembabitan dalam kokurikulum mampu mengurangkan tekanan ini. Kegiatan yang dijalankan itu mampu mengalih fikiran pelajar sejenak daripada persiapan peperiksaan mereka yang penuh dengan penghafalan dan membuat latihan, serta ulangkaji pelajaran. Keadaan ini mampu mencetus fenomena yang segar kepada pelajar untuk belajar. Selain itu, pelajar tidak lagi tertekan kerana hanya menjadi ulat buku sebaliknya dapat meluahkan tekanan ketika bersukan. Bukan itu sahaja, aktiviti sukan dan permainan seperti bola sepak dapat membina keku atan stamina, manakala sukan catur pula dapat mencerdaskan minda seseorang. Pepatah Melayu mengatakan bahawa badan cergas, otak cerdas. Jelaslah bahawa minda mereka dapat berehat sebentar apabila melakukan aktiviti yang berbeza iaitu kegiatan kokurikulum. Pada waktu yang sama, penglibatan pelajar memastikan mereka tidak terjebak ke dalam kegiatan yang tidak sihat dan tidak bermoral seperti bergentayangan di pusat beli-belah, terlibat dalam jenayah, penyalahgunaan dadah dan maksiat.  Ringkasnya, nilai diri seseorang itu akan dilihat daripada kehebatan susuk tubuhnya, minda yang cerdas dan emosi yang harmoni.
                  
                   Akhirulkalam, dapat saya simpulkan bahawa program kokurikulum merupakan wadah yang mengandungi 1001 kelebihan. Saya berpendapat bahawa program kokurikulum merupakan satu medium yang dapat melahirkan insan yang bersifat dinamik dan dapat menjana pemikiran secara kritis dan inovatif. Progam ini juga mendidik seseorang itu untuk terus berusaha dan berkeyakinan dalam mencapai cita-cita yang diidamkan ibarat pepatah Melayu, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan, dan kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Tokoh falsafah ada mengatakan bahawa kejayaan sesuatu bangsa itu adalah bergantung kepada kualiti rakyatnya yang sentiasa berfikiran positif dan dinamik. Oleh hal yang demikian, dalam usia remaja, rakyat perlulah dididik dengan nilai-nilai jati diri dan serba boleh. Selain itu, kerjasama daripada semua pihak khususnya ibu bapa harus diperkukuh supaya segal aktiviti yang dirancang dapat dilaksanakan kerana peribahasa Melayu ada mengatakan bahawa hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah. Justeru, para pelajar yang berada di bangku sekolah hendaklah menjadi aktiviti kokurikulum sebagai platform untuk mendidik mereka menjadi insan yang berguna kepada negara, bangsa, dan agama. Tegasnya, aktiviti kokurikulum haruslah dipantau dan dijalankan di setiap sekolah tanpa gagal dalam usaha kita untuk melahirkan generasi pelajar yang bakal memangkinkan pembangunan bangsa dan negara selaras dengan gagasan perdana negara, iaitu Gagasan Satu Malaysia.




没有评论 :

发表评论