2017年2月13日星期一

Karangan Bahagian B SPM 2015 : Aktiviti rekreasi seperti melancong, berkelah dan bersenam membawa pelbagai manfaat kepada masyarakat. Ulas pernyataan tersebut.

Karangan Bahagian B SPM 2015 :
Aktiviti rekreasi seperti melancong, berkelah dan bersenam membawa pelbagai manfaat kepada masyarakat. Ulas pernyataan tersebut.

                   Dalam melangkah ke era modenisasi, masyarakat sejagat terlalu sibuk berlumba-lumba mengejar kemewahan duniawi lantas sering mengabaikan amalan gaya hidup sihat khususnya amalan rekreasi. Hal ini demikian kerana tanggapan kekayaan merupakan kunci kepada segala kesenangan sudah sebati dalam kehidupan mereka sehingga mereka alpa akan kepentingan aktiviti rekreasi yang menjadi antara amalan dalam mempratikkan gaya hidup sihat. Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, aktiviti rekreasi dapat didefinisikan sebagai kegiatan yang dilakukan pada waktu senggang untuk menyihatkan tubuh badan dan menyegarkan minda. Jika diteliti dengan lebih mendalam, aktiviti rekreasi merupakan elemen yang prioriti dalam menjayakan semua aktiviti dalam kehidupan seharian kita. Menurut pandangan saya, aktiviti rekreasi memang sewajarnya diamalkan oleh semua orang tanpa mengira usia, pangkat dan asal usul. Fenomena ini selaras dengan kata-kata William J.Siegel, “Manusia tidak merancang untuk gagal, tetapi mereka gagal kerana merancang.” Memang tidak dapat dinafikan bahawa aktiviti rekreasi banyak memberikan maslahat dalam kehidupan setiap insan. Persoalan yang bermain di ruang legar minda kita, mengapakah setiap insan di dunia ini perlu mengamalkan aktiviti rekreasi? Oleh hal yang demikian, kepentingan aktiviti rekreasi yang mewarnai fokus perbincangan akan dikupas dengan lebih terperinci sehingga ke peringkat akar umbi demi kebaikan kita bersama.

                   Kebaikan dominan yang menyumbang kepada aktiviti rekreasi ialah dapat mengekalkan kesihatan fizikal dan mental. Hal ini dikatakan demikian kerana apabila kita beriadah, kadar lemak yang terkumpul di dalam tubuh badan dapat dikurangkan malahan kadar metabolisme yang baik untuk tubuh juga dapat dipertingkatkan. Tamsilnya, kita boleh melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti seperti bersenam, berkelah, berkayak dan sebagainya. Dengan ini, daya tahan kardiovaskular dapat dipertingkatkan serta jantung dapat mengepam darah dengan lancar. Hal ini secara tidak langsung, dapat meningkatkan imuniti badan kita daripada sebarang jangkitan penyakit seperti deman, selesema dan batuk. Dalam konteks ini, aktiviti rekreasi berupaya kita melaksanakan aktiviti harian secara efektif kerana badan cergas, otak cerdas. Lanjutan daripada huraian yang telah dinyatakan di atas, apabila kita memanfaatkan masa kita dengan aktiviti rekreasi yang kita gemari dapat mengurangkan stres. Hal ini dikatakan demikian kerana apabila kita mengamalkan aktiviti rekreasi, kita akan menumpukan sepenuh perhatian terhadap aktiviti tersebut dan bukannya memikirkan masalah kehidupan yang kalang kala membebankan minda kita. Dengan ini, masalah yang membelenggu sukma dapat dilupakan seketika. Deduksinya, kita perlu menjadikan aktiviti rekreasi sebagai agenda harian supaya kesihatan badan yang hakiki dapat dinikmati dan membebaskan diri daripada sebarang masalah yang menghimpit kalbu kerana mencegah lebih baik daripada merawat.

                 Sementelahan, kepentingan aktiviti rekreasi juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara sesama insan. Aktiviti rekreasi bukan rekadar dalam lingkungan dunia individu sahaja malah dapat dilakukan secara berkumpulan. Tamsilnya, aktiviti rekreasi yang boleh dilakukan secara berkumpulan seperti melancong, mendaki gunung, senamrobik dan sebagainya. Melalui komunikasi dua hala, secara tidak langsung bukan sahaja dapat merapatkan hubungan silaturahim malahan juga dapat mewujudkan kemesraan lantas memupuk semangat kerjasama antara satu sama lain seperti serumpun bagai serai, selubang bagai tebu. Dalam konteks ini, nilai saling membantu dan bekerjasama yang termaktub sebagai nilai ke-35 dalam Pendidikan Moral dapat dipraktikkan. Perpaduan turut dapat dilahirkan apabila masyarakat yang terdiri daripada multietnik terlibat dalam aktiviti rekreasi yang sama, visi kudsi Wawasan 2020 & Gagasan 1Malaysia sudah pasti dapat direalisasikan. Tuntasnya, aktiviti rekreasi mendatangkan manfaat yang amat bermakna dalam mengakrabkan perhubungan antara sesama insan.

                       Sehubungan dengan itu, aktiviti rekreasi juga dapat membentuk integrasi kaum. Marcapada ini, kita acap kali melihat pelbagai aktiviti rekreasi yang melibatkan penyertaan pelbagai kaum khususnya aktiviti yang berkaitan dengan Program Latihan Khidmat Negara. Antara adalah seperti aktiviti berkayak, mendaki gunung dan meluncur. Program tersebut telah memanifestasikan elemen kesepakatan dalam kumpulan masing-masing.  Sesungguhnya, muafakat merupakan inti pati kepada perpaduan. Melalui pergaulan dua hala, aktiviti rekreasi mampu menggalakkan pertukaran idea atau buah fikiran dalam kalangan masyarakat. Pada waktu yang sama, pertukaran idea yang bernas mampu mematangkan tahap pemikiran masyarakat. Misalnya, melalui diskusi secara ringkas dalam kalangan masyarakat, semangat individualisme dapat dihapuskan dan semangat perpaduan yang ampuh dapat dilakar. Natijahnya, jelaslah bahawa aktiviti rekreasi mampu membendung masyarakat yang bersikap seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing dan menjadikan wahana ke arah pembentukan integrasi kaum.

                    Dalam pada itu, kita sewajarnya mengamalkan aktiviti rekreasi untuk mengisi masa lapang dengan aktiviti yang bermaslahat. Bertitik tolak daripada itu, kita patut menggunakan masa senggang untuk menjalankan aktiviti rekreasi seperti berjoging, bersenam, berkelah dan sebagainya. Hal ini secara tidak langsung menghindarkan diri daripada aktiviti kurang sihat dan bergaul dengan rakan yang terlibat dalam masalah sosial. Amsalnya, aktiviti yang boleh diketengahkan ialah remaja yang sedang mencari identiti diri dan mengalami kecelaruan jiwa akan mudah terjerumus dalam aktiviti merempit, melepak dan pergaulan bebas kerana matlamat mereka seperti layang-layang yang terputus talinya. Dalam konteks ini, dengan amalan rekreasi, masa kita tidak disia-siakan dan tidak terbiar begitu sahaja kerana masa itu emas yang perlu diisi dengan aktiviti yang berfaedah. Bukan itu sahaja, dengan menjalankan aktiviti rekreasi dapat mengelakkan diri daripada berasa bosan dan letih dalam mengharungi kehidupan seharian di alam fana ini. Hal ini selaras dengan kata-kata El Leseur, “ Tanpa semangat tidak ada pekerjaan besar yang dapat dilakukan.” Izharnya, aktiviti rekreasi mampu memenuhi masa senggang kita dengan pelbagai aktiviti yang bermaslahat demi memantapkan semangat dan disiplin diri.

                    Sudah terang lagi bersuluh bahawa aktiviti rekreasi membawa seribu satu kelebihan kepada segenap strata masyarakat. Oleh hal yang demikian, kita berperanan untuk berwaspada seperti menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus tepung tidak berselerak dengan menguruskan masa untuk aktiviti rekreasi, kerjaya atau pelajaran kita secara bijaksana. Selanjutnya, kita perlu menjadikan amalan rekreasi sebagai budaya hidup moden mutakhir ini dan mengelakkan diri daripada laman sesawang yang berunsur negatif supaya mental dan jiwa kita tidak goyah dek nafsu yang bermaharajalela. Janganlah kita menolak amalan rekreasi kerana amalan ini amat bertentangan dengan apa-apa agama sekalipun. Ironinya, kita seharusnya menjadi golongan yang sentiasa bermunasabah terhadap diri dengan menjadikan kehidupan hari lebih baik daripada semalam. Akhirulkalam, dititipkan serangkap pantun untuk renungan semua.

                                                   Harum sudah cempaka hiasan,
                                                          Berpuput semilir laungan jiwa ;
                                                  Aktiviti rekreasi pencetus wawasan,
                                                           Pastinya lahir nusa wibawa.

没有评论 :

发表评论