BENTUK SOALAN
1. Peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak memanfaatkan Internet.
2. Peranan ibu bapa untuk mengawal penyalahgunaan Internet di rumah.
2. Peranan ibu bapa untuk mengawal penyalahgunaan Internet di rumah.
Marcapada,
internet merupakan satu ciptaan manusia yang wajar dikagumi dan dalam masa yang
sama merupakan satu kepentingan dalam kehidupan setiap individu. Hal ini kerana
hanya internet yang memberikan kepuasan bersosial, berniaga dan belajar secara
meluas tanpa had kepada pengguna. Bayangkan dengan hanya satu klik, kita mampu
mengakses seluruh alam maya tanpa perlu bermandi peluh. Namun begitu, isu
penyalahgunaan internet bukanlah suatu isu baharu. Terdapat manusia sanggup
melakukan penyalahgunaan internet untuk memuaskan nafsu diri demi kepentingan
diri dengan melakukan pencerobohan maklumat dan menyebarkan berita palsu. Maka
tidak hairanlah jenayah siber kian hari kian serius bagai duri dalam daging.
Oleh itu, setiap individu perlu tahu akan kelebihan, keburukan dan cara
mengakses internet, termasuklah ibu bapa. Sebahagian besar ibu bapa masa kini
handal menggunakan internet manakala sebahagian kecilnya tidak. Namun begitu,
sebagai mengambil langkah berjaga-jaga, ibu bapa wajar untuk mempelajari secara
khusus berkenaan dengan internet. Sekiranya ibu bapa sudah ‘mengenali’
internet, maka dengan mudah ibu bapa mengawal kecenderungan anak-anak melayari
internet dan secara tidak langsung, ibu bapa mampu mendidik anak-anak dalam
memanfaatkan penggunaan internet. Persoalannya, apakah peranan ibu bapa dalam
mendidik anak-anak memanfaatkan internet pada hari ini?
Memetik kata-kata
pakar motivasi terkenal Malaysia Dr. H.M Tuah Iskandar, “Seribu mancis tidak
dapat menerangi engkau dalam kegegalapan namun, cahaya keimanan pasti dapat
menyuluh engkau ke jalan kebahagiaan”. Oleh hal yang demikian, langkah awal
wajar diambil oleh ibu bapa untuk meralisasikan hasrat murni itu iaitu dengan
cara menerapkan dan memberikan didikan agama yang sempurna.
Hal ini dikatakan demikian kerana agama merupakan benteng yang paling ampuh
untuk menangkis anasir-anasir negatif yang dibawa masuk melalui tingkap
globalisasi. Anak-anak yang diasuh dan dibesarkan dengan didikan agama yang
mantap dapat membezakan dosa dan pahala ketika melayari laman sesawang. Sebagai
contoh, anak-anak tidak akan melayari laman sesawang yang mengandungi unsur
pornografi yang mampu mencemarkan minda dan sekali gus mampu mendorong
meruntuhkan akhlak anak-anak yang masih separa matang. Bukan itu sahaja, mereka
juga tidak akan menggunakan internet untuk menjejaskan keamanan dan keharmonian
dalam masyarakat dengan menyebarkan fitnah malahan mereka akan menggunakan
internet untuk menyampaikan ilmu yang berguna kepada masyarakat. Apabila
anak-anak telah diterapkan dengan nilai-nilai murni, sudah pasti akan lahirlah
insan yang berguna iaitu insan yang tahu nilai diri dan estetika. Jadi apabila
benteng pertahanan diri mereka sudah cukup teguh, mereka dapat menggunakan
internet dengan baik dan bijak.
Peranan lain yang
harus dimainkan oleh ibu bapa dalam mendidik anak-anak memanfaatkan internet
pada masa ini termasuklah mendedahkan anak-anak dengan segala maklumat
berkaitan dengan internet. Hal ini disebabkan anak-anak perlu diberitahu
mengenai baik buruk penggunaan internet sebelum mereka didedahkan dengan cara
menggunakan kemudahan internet secara bijak. Sementara itu, ibu bapa perlu memberi nasihat kepada anak-anak supaya menggunakan Internet secara sihat. Sekiranya
anak-anak sudah diajar sejak setahun
jagung,
sudah tentu anak-anak akan lebih berhati-hati dan lebih bijak dalam menggunakan
kemudahan internet pada masa-masa akan datang bak kata pepatah, sediakan
payung sebelum hujan. Melentur buluh biarlah dari rebungnya,
oleh itu sememangnya ibu bapa bertanggungjawab dalam memberikan pengenalan
kepada anak-anak mengenai penggunaan internet dari kecil, yang ternyata amat
penting dalam kehidupan masyarakat moden masa ini. Jelaslah di sini bahawa
pendedahan segala maklumat berkaitan internet terhadap anak-anak merupakan
tindakan yang wajar dilakukan oleh ibu bapa.
Selain itu, ibu
bapa juga berperanan untuk memantau anak-anak semasa menggunakan
kemudahan internet. Alam maya ini tiada batasnya, oleh itu internet ini
mempunyai keburukannya. Dalam konteks
ini, ibu bapa perlu mengehadkan masa penggunaan Internet oleh
anak-anak. Pemantauan ibu bapa sebenarnya mampu mengelakkan
anak-anak daripada mengakses laman-laman sesawang yang berunsurkan pornografi,
mahupun melakukan jenayah siber seperti mencetak rompak bahan media,
mencetuskan provokasi atau menggodam laman sesawang. Tindakan kecil yang
dilakukan ibu bapa ini juga tanpa disedari mampu menyelamatkan industri hiburan
tanah air yang kerap kali ‘dirompak’ oleh orang-orang yang tidak
bertanggungjawab, termasuklah mengurangkan jumlah penggodam dan pencetus
provokasi di internet yang semakin hari semakin berleluasa. Anak-anak juga
terselamat daripada terus terperangkap di dalam kancah jenayah siber, yang juga
merupakan salah satu kesalahan yang akan dikenakan tindakan keras seperti yang
termaktub di dalam akta jenayah negara. Oleh itu jelaslah bahawa tindakan ibu
bapa dalam memantau anak-anak semasa menggunakan kemudahan internet dapat
mendidik mereka dalam memanfaatkan kegunaan internet.
Jika dikaji dari
aspek yang lain, ibu bapa juga seharusnya menyekat penggunaan internet
oleh anak-anak. Ibu bapa kini mampu mengawal internet dengan menyekat laman-laman sesawang yang berunsurkan
negatif sebagai langkah mengelakkan pengguna internet mengakses laman-laman
tersebut dan sistem yang sama digunakan pada peranti komputer yang disediakan
di semua alma mater milik kerajaan. Sistem sebegini bukan sahaja mampu mengawal
aktiviti penggunaan internet anak-anak, malah mampu mengasuh mereka untuk hanya
mengakses laman-laman yang berguna sahaja. Bayangkan, sekiranya ibu bapa
melaksanakan sistem sebegini di rumah, sudah tentu anak-anak akan menggunakan perkhidmatan
internet dengan lebih bijak, seterusnya dapat menghindari mereka daripada
mengetahui mahupun mencuba untuk mengakses laman-laman yang tidak bermoral dan berunsurkan negatif seperti yang kebiasaanya berlaku
dalam kalangan remaja dan orang dewasa masa ini. Anak ibarat kain
putih, ibu bapalah yang mencorakkannya, persis kata peribahasa tersebut
yang secara tersiratnya menegaskan bahawa ibu bapalah yang perlu mengawal
ton-ton warna yang ingin diwarnakan di atas kain putih yang tidak berdosa.
Cukup ditegaskan di sini bahawa ibu bapa sebaik-baiknya mengawal penggunaan
internet oleh anak-anak sebagai cara mengajar mereka menggunakan internet
secara lebih bijak.
Akhir sekali, ibu
bapa perlu memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak menggunakan
internet secara pintar dengan memperkenalkan kepada mereka dengan
medium-medium pembelajaran menerusi internet. Seperti yang ditegaskan,
internet sememangnya memberikan banyak manfaat, termasuklah dari segi
pendidikan. Hari ini, kemajuan internet juga selaras dengan kemajuan teknologi
seperti tablet dan telefon pintar. Mengikut statistik juga, kedua-dua peranti
ini merupakan peranti pilihan pengguna untuk melayari internet. Oleh hal yang
demikian, adalah lebih baik para ibu bapa memperkenalkan laman sesawang atau
aplikasi pintar yang berunsurkan pembelajaran kepada anak-anak. Tanpa disedari,
sudah banyak aplikasi dan laman sesawang yang menyediakan aktiviti pembelajaran
menggunakan kemudahan internet, namun malangnya kurang mendapat sambutan dalam
kalangan pengguna internet masa kini. Sebaik-baiknya anak-anak didedahkan
dengan medium sebegini, sekurang-kurangya mereka akan mula memanfaatkan
penggunaan internet serta bijak menggunakannya. Ibu bapa juga tidak perlu risau
sekiranya anak-anak menghabiskan masa dengan melayari internet mahupun
menghadap peranti pintar sepanjang masa, sekiranya peranti-perani di rumah
diisi dengan aplikasi dan laman pembelajaran yang berguna kepada anak-anak.
Oleh hal yang demikian, jelaslah sudah di sini bahawa tindakan ibu bapa
memperkenalkan medium-medium pembelajaran melalui internet kepada anak-anak
adalah amat wajar dalam mendidik mereka memanfaatkan penggunaan internet.
Secara tuntasnya,
ibu bapa memainkan peranan penting dalam mendidik dan mengasuh anak-anak
memanafaatkan penggunaan internet. Perkhidmatan internet sememangnya memberikan
manfaat kepada pengguna walaupun secara minoritinya membawa kepada keburukan.
Namun yang demikian, semua ini bergantung kepada ibu bapa itu sendiri, sama ada
bijak atau tidak mendidik anak-anak dalam memanfaatkan penggunaan internet
dalam kehidupan seharian. Walaupun demikian, kita tidak seharusnya mengharapkan
peranan ibu bapa sahaja kerana bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi.
Oleh itu, tindakan kerajaan mengambil pelbagai langkah dalam memastikan
perkhidmatan ini mampu digunakan oleh semua anggota masyarakat sama ada di
bandar mahupun di luar bandar membuktikan bahawa internet sangat penting kepada
semua. Kerajaan juga banyak berusaha untuk memastikan masyarakat menggunakan
perkhidmatan tersebut dengan sebaik-baiknya, namun usaha kerajaan akan menjadi
usaha yang sia-sia sekiranya ibu bapa dan pihak yang lain tidak turut turun
padang dalam membantu kerajaan melahirkan generasi yang celik IT dan bijak
menggunakannya.Mencegah itu lebih baik daripada merawat, sememangnya
jikalau semua pihak mula bertindak dari awal, masalah-masalah penyalahgunaan
internet dan jenayah siber yang semakin menjadi-jadi ini akan mudah dicantas,
dan secara tidak langsung, negara kita akan dipenuhi dengan generasi-generasi
yang berguna dan berfikiran hadapan.