Penjagaan dan Pemuliharaan Bangunan Lama Menguntungkan Negara
Pada era langit terbuka
ini, pembangunan di negara kita semakin hari
semakin maju dan pesat seiring dengan nama Malaysia yang kini lebih dikenali
sebagai negara yang sedang membangun. Tun Dr Mahathir ada berkata bahawa
sejarah adalah tetap sejarah. Namun yang lebih penting adalah daripada sudut
manakah kita menterjemahkan sejarah? Marcapada, warisan negara yang telah diabaikan
dewasa ini ialah bangunan bersejarah yang terdapat di seantero negara. Jika
ditinjau secara umum, kebanyakan bangunan bersejarah yang dipulihara akan
disuaigunakan semula sebagai muzium, pejabat, tempat kediaman, premis
perniagaan dan kegunaan awam. Sejak UNESCO mengiktirafkan negeri Melaka dan
Pulau Pinang sebagai Tapak Warisan Dunia, baru timbullah kesedaran tentang
kepentingan bangunan-bangunan bersejarah. “Semua sejarah merupakan
lukisan daripada beberapa catatan dan memiliki ketelusan yang tinggi,” kata
Emerson. Persoalan yang menerjah dan menerawang di gawang minda kita, apakah
kepentingan penjagaan dan pemuliharaan bangunan lama dalam
konteks Malaysia? Dengan demikian, untuk
mengupas segala persoalan, lima perspektif utama akan saya utarakan bagi
mengungkap penjagaan dan pemuliharaan
bangunan-bangunan bersejarah demi kepentingan negara kita.
Satu daripada kepentingan bangunan bersejarah perlu dikekalkan ialah bangunan bersejarah atau monumen dapat dijadikan sebagai bukti yang kukuh kepada sesuatu era atau peristiwa sejarah yang telah berlaku. Menurut Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat, monumen bermaksud bangunan yang dibina untuk memperingati seseorang atau peristiwa penting. Walaupun Malaysia telah mencapai kemerdekaan selama 50 tahun, kesan yang ditinggalkan oleh penjajah kolonial seperti British, Belanda dan Portugis masih dapat dilihat dan perlu dijaga dan bukanlah untuk dimusnahkan. Selain itu, bangunan bersejarah amat penting untuk generasi kini dan juga generasi yang akan datang kerana dengan kewujudan bangunan bersejarah, kita dapat membuktikan bahawa sejarah Malaysia yang telah dibukukan oleh penulis-penulis yang terkenal merupakan sesuatu yang realistik dan bukanlah cerita-cerita dongeng, mitos atau lagenda. Sebagai contohnya, zaman kegemilangan bandar pelabuhan Melaka pada abad ke-15 dan abad ke-16 dapat dirasai dengan wujudnya Pintu Gerbang Porta de Santiago, Gereja Christ, Bangunan Stadhuys dan Gereja St.Paul. Selain itu, Kota Cornwallis, Masjid Kling, Gereja St.George di Georgetown, Pulau Pinang dapat mengimbas kembali detik-detik sejarah negara yang pernah suatu masa dahulu dijajah dan juga dapat membuktikan berlakunya penjajahan awal pemerintahan British di Semenanjung Tanah Melayu pada akhir abad ke-18. Sudah terang lagi bersuluh bahawa usaha meruntuhkan bangunan bersejarah dan monuman negara tidak wajar dilaksanakan.
Pendapat sesetengah pihak yang mengatakan bahawa bangunan bersejarah perlu diruntuhkan adalah tidak berasas kerana bangunan bersejarah dan monumen lama dapat memberikan teladan dan iktibar kepada masyarakat terutamanya remaja kini yang mempunyai semangat patriotisme yang semakin menipis. Walaupun ada antara bangunan bersejarah yang hanya menggambarkan sejarah hitam negara namun jika kita menghayati sejarah di sebalik bangunan tersebut semula serta mengambil pengajaran daripada peristiwa yang telah berlaku, maka kita dapat terus mara ke hadapan tanpa mengulangi kesilapan yang telah dilakukan oleh masyarakat terdahulu. Sebagai contohnya, Kota A Famosa di Melaka yang merupakan sebuah kubu pertahanan yang kukuh telah dibina oleh Portugis setelah mereka berjaya menakluki Melaka dapat dijadikan iktibar. Penaklukan ini terjadi kerana terdapatnya masalah perpaduan, kelemahan kepemimpinan dan juga kelemahan tentera yang mengawal Melaka. Negara kita juga mampu menjadi negara yang setaraf dengan negara-negara maju yang lain sekiranya kita tidak mengambil mudah dan mengambil iktibar daripada sejarah negara. Tuntasnya, bangunan bersejarah di negara kita sememangnya tidak perlu diruntuhkan kerana yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.
Tidak ketinggalan juga,
bangunan bersejarah dapat menyumbang kepada kerancakan industri pelancongan
negara kita. Walaupun bangunan-bangunan ini telah
dibina sejak berabad-abad yang lalu, namun
para pelancong yang hadir tidak kira
dari dalam mahupun luar negara tetap tertarik untuk melawat keindahan serta
mendalami sejarah negara yang dipamerkan. Bangunan ini juga menjadi
salah satu faktor dominan pelancong bercuti di negara kita selain menyaksikan
kehebatan bangunan yang moden seperti Menara Berkembar Petronas. Pada
hemat saya, bangunan bersejarah tidak perlu diruntuhkan sebaliknya dipulihara
dan diubah suai. Tamsilnya,
bangunan lama hendaklah diubah suai untuk dijadikan muzium, galeri seni lukis
dan pusat pelancongan. Senario ini merupakan suatu peristiwa am di beberapa
buah negara Eropah seperti di England, Perancis, Itali, dan Belanda.
Bandar-bandar bersejarah seperti York, Bath, Oxford, dan Cambridge di England
telah berjaya melindungi sebahagian besar daripada bangunan bersejarah mereka
dengan baik. Usaha seperti ini dapat menarik pelancong dari setiap
pelosok dunia dengan lebih banyak dan dapat menjadi sumber pendapatan
negara. Oleh itu, prakarsa untuk memelihara dan memulihara bangunan ini
penting kerana merupakan salah satu kawasan tarikan pelancong seperti Bangunan
Sultan Abdul Samad yang menjadi saksi kemerdekaan negara kita yang tercinta.
Di
samping itu, bangunan dan monumen lama juga memainkan peranan yang penting dalam pendidikan di negara kita khususnya
para pelajar dan penyelidik. Pelbagai ilmu yang dapat dipelajari dengan memahami dan
mengkaji bangunan dan monumen lama. Sebagai contohnya, dengan terdapatnya bangunan dan pancutan air Horse di
sekitar Dataran Merdeka dan Masjid Jamek di pertemuan Sungai Gombak dan Klang
di Kuala Lumpur, seseorang dapat mengetahui bukan sahaja kepentingan Kuala
Lumpur dalam era kolonial British tetapi juga kehidupan dan kebudayaan
masyarakat penjajah dan tempatan pada ketika itu. Bangunan Kelab Di Raja
Selangor dan Dataran Merdeka telah dibina bagi kemudahan sosial dan rekreasi
khasnya kepada rakyat British dan Eropah yang berkhidmat di Tanah Melayu pada
akhir abad ke-19. Begitu juga halnya dengan kepentingan pancutan air Horse yang
telah dibina di persimpangan Jalan Raja dan Jalan Raja Laut pada tahun 1897.
Pancutan air Horse dibina sebagai memperingati seorang inspektor polis negeri
Selangor, iaitu Encik Steve Harper. Pemuliharaan dan penghayatan
kemaslahatan bangunan bersejarah dapat memahamkan pelajar tentang peri pentingnya
semangat cinta akan tanah air kerana tak kenal maka tak cinta melalui apabila para. Sesungguhnya,
bangunan bersejarah dan monumen sememangnya mempunyai nilai yang tersendiri.
Pemuliharaan terhadap bangunan-bangunan bersejarah itu dapat membuktikan bahawa generasi kini tidak pernah melupakan jerih payah perjuangan masyarakat silam. Selain menikmati kesenangan dan keselesaan hasil titik peluh warga terdahulu, masyarakat hari ini dapat mencurahkan rasa syukur dan kasih sayang mereka ibarat menatang minyak yang penuh terhadap golongan yang berjaya menyediakan tapak yang kukuh untuk mewujudkan sebuah tamadun. Buktinya, jutaan ringgit diperuntukkan untuk memelihara dan memulihara bangunan bersejarah di seluruh tanah aiar terutamanya di kawasan-kawasan bersejarah seperti di Melaka, Kuala Lumpur dan Perak. Bernard Berenson ada berkata bahawa sejarah merupakan seni yang tidak mengabaikan fakta-fakta yang diketahui. Jadi, usaha memelihara dan memulihara bangunan yang dibina oleh masyarakat silam dan menjadikannya sebagai monumen bersejarah merupakan inisiatif untuk menghargai jasa mereka kerana harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama dan usaha ini sentiasa dilaksanakan dari semasa ke semasa.
Walhasil, pemuliharaan dan pelestarian bangunan bersejarah
amat penting dalam penghayatan warisan dan khazanah negara. Bangunan dan
monumen yang bersejarah merupakan aset yang patut dipelihara dan diwarisi dari
satu generasi ke satu generasi. Dengan terdapatnya bangunan bersejarah,
generasi baharu akan lebih menghargai dan peka akan perkembangan sejarah
negara. Sesungguhnya, semua pihak harus menyedari kepentingan yang
akan kita peroleh melalui pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah di
negara kita. Akhir kata, adalah tidak rasional jika bangunan-bangunan
bersejarah ‘dikorbankan’ demi memberikan laluan kepada pembangunan negara.
Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT atas limpah rahmat dan
kurnia-Nya dapat kita bersama-sama menghayati nikmat kesejahteraan di dunia
yang fana ini.
Sebelum kudis menjadi tokak, marilah
kita bersama-sama berusaha untuk mengekalkan pusaka turun temurun pahlawan
Melayu kernaa terdapat pelbagai kepentingan dan impak positif yang akan kita
peroleh mungkin bukan pada masa sekarang tetapi kepada anak cucu kita yang kita
sayangi pada masa akan datang. Cintailah sejarah ibu pertiwi kita demi
kematangan perjuangan rakyat kita kerana nilai sejarah tak lapuk dek
hujan, tak lekang dek panas. Sayangilah negara Malaysia kerana di
sinilah tanah tumpahnya darah kita, rakyat Malaysia bumi bertuah. Hidup warisan
Malaysia, hidup bangsa Malaysia!
没有评论 :
发表评论