2017年1月19日星期四

Karangan SPM Bahagian A- Kepentingan semangat kejiranan

Kepentingan Semangat Kejiranan 

  1. - Suasana yang harmoni
  2. - Jaminan keselamatan
  3. - Semangat kerjasama

                   
                    Nusa tercinta kita Malaysia merupakan negara yang mempunyai anak watan berbilang kaum dan hidup secara bersama sehati sejiwa ibarat seikat bak sirih, serumpun bak serai.  Meminjamkan kata-kata pakar motivasi tersohor, jiran merupakan orang yang tinggal di sekeliling rumah kita, iaitu di sebelah, di hadapan, dan juga di belakang rumah kita. Mereka pula merupakan orang pertama yang membantu kita apabila kita berada dalam kesusahan. Peribahasa Melayu ada megatakan bahawa jiran sepakat, membawa berkat. Memang tidak dapat dinafikan bahawa semangat kejiranan banyak memberikan maslahat dalam kehidupan setiap insan. Persoalannya, apakah kepentingan di sebalik cogan kata “ Jiran Sepakat Membawa Berkat ” ?

                   
                    Pada hemat saya, semangat kejiranan dapat mewujudkan suasana yang harmoni dalam kehidupan kita.
Dalam hal ini, saya berpendapat bahawa setiap ketua kawasan perumahan perlulah menganjurkan lebih banyak aktiviti demi mengungkaikan/menghakis masyarakat yang bersikap individualistik. Amsalnya, penganjuran program khidmat masyarakat seperti aktiviti gotong-royong, majlis sambutan perayaan  atau perjumpaan bulanan komuniti untuk mempertemukan jiran-jiran, saling berkenalan dan mengakrabkan perhubungan antara sesama jiran . Misalnya, sikap evasif dan egosentrik yang bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing dapat dihapuskan dan semangat perpaduan yang ampuh dapat dilakar.  Pada waktu yang sama, “ Nafsi-nafsi, siapa lu siapa gua ” dapat dielakkan dan mengembalikan kita kepada landasan sebenar. Tuntasnya, semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat mampu menjana kawasan perumahan yang harmoni dan aman.

                   Selain itu, semangat kejiranan dapat menjamin keselamatan kepada penduduk setempat. Hal ini dikatakan demikian kerana jiran yang baik akan bersama-sama menjaga kawasan kediaman mereka daripada berlaku kejadian yang tidak diingini, seperti kejadian pecah rumah. Masyarakat boleh membuat rondaan pada waktu malam bagi memastikan kawasan kediaman mereka sentiasa berada dalam keadaan yang selamat. Sementara itu, mereka juga perlu melaporkan kejadian tersebut kepada pihak yang bertanggungjawab apabila kawasan kediaman mereka dimasuki orang yang mencurigakan. Dengan pelaksanaan program sebegini yang melibatkan semua pihak, nescaya masyarakat akan mendapat jaminan keselamatan yang sepenuhnya bahkan purata kes jenayah dalam negara akan semakin berkurangan dari semasa  ke semasa. Sudah terang lagi bersuluh bahawa semangat kejiranan dapat menjamin keselamatan masyarakat setempat. 

                    Di samping itu, semangat kejiranan dapat memupuk semangat kerjasama dalam kalangan anggota masyarakat. Apabila sakit pening, susah senang, jiran merupakan orang prima untuk kita mengadu. Jiran yang baik akan membantu jirannya yang menghadapi kesusahan. Apatah lagi dalam hal kecemasan, jiran merupakan orang pertama yang diharapkan untuk menghulur bantuan atau yang diharapkan bagi mendapatkan pertolongan. Jiran yang baik akan prihatin dan sentiasa bersedia memberikan pertolongan sekiranya jiran mereka memerlukan pertolongan tidak kira dalam keadaan susah atau senang. Dengan itu, hubungan yang erat sesama jiran dapat dibentuk yang secara implisit akan menimbulkan semangat kerjasama ibarat senang sama dinikmati, sakit sama dirasai.  Sesungguhnya, semangat kejiranan yang dipupuk dapat membentuk kerjasama dalam kalangan anggota masyarakat seterusnya membentuk ukhuwah yang kukuh dan ampuh.



                    Setelah lebih separuh abad negara mencapai kemerdekaan, pelbagai kemajuan telah dapat dirasai. Kemajuan dalam aspek material dan fizikal adalah begitu hebat sekali. Walau bagaimanapun, kejayaan tersebut belum mampu menutup ketempangan yang berlaku dalam aspek kejiranan. Para sarjana sosiologi berpendapat bahawa satu daripada keperluan penting manusia ialah keharmonian hidup bersama-sama jiran.  Oleh hal yang demikian, semua pihak perlulah sedar bahawa kita tidak akan dapat hidup bebas dan harmoni selagi amalan kejiranan tidak disuburkan dalam kalangan masyarakat kita. Lantaran itu, masyarakat harus mempratikkan amalan ini sehingga ke generasi akan datang supaya amalan ini tidak ditelan zaman. Dalam mengutamakan hidup berjiran, berpeganglah kepada falsafah peribahasa, hidup bagai aur dengan tebing atau hidup ini sandar-menyandar ke gunung sama didaki, ke lurah sama dituruni. Inilah situasi kehidupan yang menzahirkan keharmonian dan damai.

没有评论 :

发表评论