Peranan ibu bapa untuk membudayakan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia
(WHO) pernah memperjelaskan bahawa kesihatan merupakan tanda kesejahteraan
yang boleh dilihat daripada beberapa dimensi,
yakni fizikal, mental, psikologikal serta sosial dan bukan hanya
ketiadaan penyakit. Kesihatan pula merupakan aset yang paling berharga dan
signifikan bagi menyempurnakan semua aktiviti dalam kehidupan seharian kita. Kehidupan
yang sihat menjamin kelangsungan hidup yang sejahtera, berkat dan harmonis serta
bebas daripada segala jenis wabak dna penyakit. Tanpa kehidupan yang sihat,
nikmat di dunia seperti kemewahan dan keseronokan hiburan akan hilang. Setiap
insan sewajarnya menjaga masa sihat sebelum datang waktu sakit kerana mencegah
lebih baik daripada merawat. Persoalan yang menerjah dan menerawang di gawang
minda kita, apakah uslub yang boleh diambil oleh ibu bapa untuk membudayakan
amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak? Pada hemat saya, pelbagai prakarsa
mapan menjalani kehidupan yang sihat akan didiskusikan untuk dijadikan pedoman
dan ikutan.
Minhaj
prima untuk membudayakan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak ialah
ibu bapa perlulah memastikan anak-anak mereka mengamalkan pemakanan yang
seimbang. Pemakanan seimbang membawa erti pengambilan makanan yang
mempunyai semua kelas nutrien dalam kuantiti yang betul, yakni tidak lebih
mahupun kurang. Terdapat tujuh kelas nutrien yang perlu diberi perhatian,
termasuklah karbohidrat, protein, lemak, fiber, mineral, vitamin dan air. Pemakanan
seimbang kepada anak-anak secara konsisten dapat mencegah serangan penyakit
kronik seperti jantung dan kencing manis ketika mereka dewasa kelak. Dalam
konteks ini, pengambilan makanan juga haruslah berdasarkan waktu yang tepat,
ibu bapa perlulah bermula dengan pengambilan sarapan untuk tenaga yang
mencukupi sepanjang hari kerana anak-anak memerlukan tenaga yang sepenuhnya
untuk menjalankan pelbagai kegiatan. Tun Dr Mahathir pernah berkata bahawa
makan apabila lapar, berhenti sebelum kenyang. Ibu bapa juga perlu mengelakkan pengambilan
makanan segera oleh anak-anak kerana mengandaikan makanan segera umpama bom
jangka yang boleh meledak menjadi penyakit kronik apabila diambil sejak usia
muda. Di samping itu, ibu bapa perlulah sentiasa menghidangkan makanan yang
berzat dan bernutrisi kepada anak-anak. Tambahan pula, ibu bapa juga digalakkan
untuk memasak di rumah, hal ini demikian kerana makanan di luar, khususnya warung
makanan di sepanjang jalan makanannya biasanya digoreng dengan penuh minyak. Alah
bisa tegal biasa, sekiranya tabiat yang baik ditanam dalam diri anak-anak sejak
setahun jagung lagi, sudah pasti anak-anak akan tahu menjaga pemakanan mereka
apabila dewasa kelak. Sudah terang lagi bersuluh, amalan pemakanan yang
seimbang membolehkan kita menjalani kehidupan yang sihat pada setiap masa.
Kita juga harus mengakui hakikat bahawa beriadah dan bersenam
juga merupakan elemen penting dalam penjagaan kesihatan. Ibu bapa seharusnya
membawa anak-anak beriadah atau bersenam pada waktu senggang untuk menyihatkan
tubuh badan dan menyegarkan minda mereka. Hal ini dikatakan demikian kerana
apabila seseorang itu bersenam, kelenjar penuh akan mengeluarkan peluh dan haba
daripada badan. Pada waktu yang sama, beriadah atau bersenam mampu menstabilkan
degupan jantung pada purata 80 ke 100 degupan per minit. Jika diteliti dengan
lebih mendalam, pengaliran darah ke otak dapat dilancarkan serta lemak-lemak
yang berlebihan dalam tubuh badan dapat dikurangkan. Jadi, ibu bapa berperanan
untuk membawa anak mereka beriadah atau bersenam sekurang-kurangnya dua kali
dalam seminggu supaya badan mereka sentiasa aktif dengan pergerakan fizikal dan
mental. Tamsilnya, ibu bapa boleh
berjalan kaki, berjoging ataupun bermain badminton bersama-sama dengan anak
mereka. Tidak terkecuali juga, dasar “ 10 000 langkah setiap hari ” boleh
dijalankan untuk mengekalkan ketahanan jasmani anak-anak. Walaupun ibu bapa sibuk dengan rutin kerja
setiap hari, ibu bapa haruslah bijak untuk meluangkan masa bagi melakukan
aktiviti riadah bersama dengan anak-anak. Punjagga bahasa ada berkata bahawa
otak yang cerdas lahir daripada fizikal yang cergas.
Sementelahan, secara tidak langsung dapat mewujudkan
kemesraan dan mampu mengeratkan hubungan
silaturahim bagai isi dengan kuku. Selain itu, masalah sosial juga dapat
dikurangkan. Tidak hairanlah bahawa aktiviti beriadah dan bersenam bukan sahaja
serampang dua mata malahan juga membawa seribu satu kelebihan kepada kita.
Umum mengetahui bahawa setiap insan harus mendapatkan tidur dan rehat
yang secukupnya dalam satu hari. Tidur merupakan manhaj berehat yang
efektif kerana setelah mengharungi hari yang penat dan letih lantaran bekerja,
maka tidur dan rehat amat penting untuk mengembalikan tenaga kita semula yang
telah hilang. Dalam pada itu, ibu bapa perlulah memastikan anak-anak tidur
dengan cukup iaitu sekurang-kurangnya 8 atau 9 jam sehari kerana menurut kajian
sains, sel-sel dalam badan termasuklah sel otak akan mengalami tindak balas
biokimia yang seterusnya akan menghasilkan glukosa yang baik untuk mendapatkan
tenaga. Dengan itu, tubuh badan anak tidak sentiasa lemah dan tidak bertenaga
bagai ayam kena lengit. Amsalnya, ibu bapa wajarlah menetapkan waktu tidur
anak-anak iaitu sekitar pukul 9 malam. Sehubungan dengan itu, ibu bapa tidak
patut menggalakkan anak mereka menonton televisyen sehingga larut malam.
Sekiranya anak dapat berehat dan tidur yang mencukupi dalam satu hari,
kesihatan mereka akan lebih terjamin, pencapaian akademik dapat dipertingkatkan
dan mereka juga dapat menumpukan perhatian iaitu fokus apabila guru sedang
mengajar di dalam kelas. Seterusnya, tidur mencukupi dapat mengurangkan stres
dan penyakit sakit kepala. Berdasarkan kajian, manusia yang memperoleh tidur
optimum akan lebih peka dan memiliki tahap memori yang lebih baik dan pelbagai
tugasan dapat dijalankan dengan lebih efisien. Izharnya, tidur dan rehat amat
mudah tetapi cukup berkesan untuk kesihatan diri.
Walhasil, ibu bapa haruslah mengutamakan kesihatan anak mereka dengan
melakukan pelbagai aktiviti fizikal dan mental dalam kehidupan seharian. Hadis
Nabi Muhammad SAW pernah bersabda bahawa gunakanlah masa sihatmu, sebelum masa
sakitmu yang menunjukkan bahawa kepentingan penjagaan kesihatan. Harta yang
penting dalam diri manusia sebenarnya kesihatan bukannya wang ringgit kerana
kita boleh hidup tanpa wang tetapi tanpa kesihatan, nyawa kita akan melayang.
Peribahasa Melayu ada menyatakan bahawa nasi sudah menjadi bubur, sudah
terhantuk baru nak tergadah, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak
berguna dan ingat sementara belum kena, jimat sebelum habis haruslah dijadikan
panduan kepada kita supaya kita terus dapat menjalani kehidupan yang sihat
sepanjang masa.
没有评论 :
发表评论