2017年1月19日星期四

Karangan SPM Bahagian B- Usaha-usaha yang perlu dilakukan oleh setiap individu untuk menjamin kesihatan diri

Usaha-usaha yang perlu dilakukan oleh setiap individu untuk menjamin kesihatan diri.
                    

                    Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)  pernah memperjelaskan  bahawa kesihatan merupakan tanda kesejahteraan yang boleh dilihat daripada beberapa dimensi,  yakni fizikal, mental, psikologikal serta sosial dan bukan hanya ketiadaan penyakit. Kesihatan pula merupakan aset yang paling berharga dan signifikan bagi menyempurnakan semua aktiviti dalam kehidupan seharian kita. Kehidupan yang sihat menjamin kelangsungan hidup yang sejahtera, berkat dan harmonis serta bebas daripada segala jenis wabak penyakit. Tanpa kehidupan yang sihat, nikmat di dunia seperti kemewahan dan keseronokan hiburan akan lenyap. Setiap insan sewajarnya menjaga masa sihat sebelum datang waktu sakit kerana mencegah lebih baik daripada merawat. Dengan memiliki tubuh badan yang sihat, seseorang dapat melaksanakan aktiviti harian tanpa halangan. Anak-anak dapat ke sekolah menimba ilmu dan ibu bapa dapat mencari rezeki untuk keluarga.. Persoalan yang bermain di ruang legar minda kita, apakah uslub yang boleh diambil oleh setiap individu untuk menjamin kesihatan diri? Perjalanan seribu batu bermula dari satu langkah, pelbagai prakarsa perlu dilakukan untuk menjamin kesihatan diri akan didiskusikan untuk dijadikan pedoman dan ikutan.

                    Minhaj prima untuk menjamin kesihatan diri adalah dengan mengamalkan pemakanan yang seimbang. Hal ini dikatakan demikian kerana pemakanan yang seimbang dapat mengelakkan pelbagai penyakit kronik seperti penyakit jatung koronari, tekanan darah tinggi, kencing manis dan obesiti. Pemakanan seimbang membawa erti pemakanan yang mengandungi ketujuh-tujuh kelas nutrien makanan dalam kadar yang bersesuaian, yakni tidak lebih mahupun kurang iaitu karbohidrat, protein, lemak, serat, mineral, vitamin dan air. Tun Dr Mahathir pernah berkata bahawa makan apabila lapar, berhenti sebelum kenyang. Kita hendaklah mengutamakan makanan yang betul gizi pemakanannya. Setiap insan disarankan agar lebih banyak makan buah-buahan dan sayur-sayuran dalam diet harian agar tubuh mereka mendapat bekalan vitamin yang secukupnya. Kontradiksinya, kita disarankan supaya mengurangkan makanan yang berlemak atau mengandungi kolesterol yang tinggi. Apabila berhadapan dengan makanan, seseorang itu mestilah bijak mengawal nafsu makan tanpa melahap makanan yang terhidang sehingga licin. Perkara ini walaupun sukar dilakukan oleh sesetengah orang tetapi perlu dikawal juga kerana semakin kerap seseorang itu makan dengan kadar yang banyak, keadaannya diumpamakan bagai menyimpan bom jangka yang akan meledak sebagai penyakit kronik pada suatu masa nanti. Kata slogan yang kerap digunakan dalam kempen-kempen kesihatan “ kurangkan manis dalam minuman, lebihkan manis dalam senyuman ” hendaklah menjadi pegangan kepada kita.  Ringkasnya, merancang pemakanan yang bijak menjamin kesihatan yang unggul.

                    Selain itu, kita juga harus mengakui hakikat bahawa kegiatan riadah merupakan elemen penting dalam penjagaan kesihatan. Hal ini dikatakan demikian kerana apabila seseorang itu bersenam, kelenjar penuh akan mengeluarkan peluh dan haba daripada badan. Pensyarah Sains Sukan Universiti Teknologi Mara (UITM) menyarankan setiap individu melakukan kegiatan riadah selama 30 minit dua kali seminggu bagi mendapatkan tahap kesihatan yang optimum. Alah bisa tegal biasa, kegiatan riadah ini akan menjadi kebiasaan sekiranya kita melakukannya setiap hari dengan penuh disiplin dan istiqamah. Kita sewajarnya beriadah atau bersenam pada waktu senggang untuk memastikan badan kita sentiasa aktif dengan pergerakan fizikal dan mental. Beriadah atau bersenam mampu menstabilkan degupan jantung pada purata 80 ke 100 degupan per minit. Di samping itu, pengaliran darah ke otak dapat berjalan dengan lancar serta lemak-lemak yang berlebihan dalam tubuh badan dapat dikurangkan. Walaupun kita sibuk dengan rutin kerja setiap hari, kita haruslah bijak untuk meluangkan masa bagi melakukan aktiviti riadah. Tamsilnya,  dasar “10 000 langkah setiap hari” boleh dijalankan untuk mengekalkan ketahanan jasmani kita. Amalan ini harus menjadi nadi kehidupan masyarakat Malaysia. Secara eksplisit, slogan "Otak Cerdas , Fizikal Cergas” dapat saya simpulkan bahawa kegiatan senaman akan memperoleh kesihatan yang baik.

                    Umum mengetahui bahawa setiap insan harus mendapatkan tidur dan rehat yang secukupnya dalam satu hari. Tidur merupakan manhaj berehat yang efektif kerana setelah mengharungi hari yang penat dan letih lantaran bekerja, maka tidur dan rehat amat penting untuk mengembalikan tenaga kita semula yang telah hilang. Kita perlulah memastikan diri supaya tidur dengan cukup iaitu sekurang-kurangnya 8 atau 9 jam sehari kerana menurut kajian sains, sel-sel dalam badan termasuklah sel otak akan mengalami tindak balas biokimia yang seterusnya akan menghasilkan glukosa yang baik untuk mendapatkan tenaga. Dalam konteks ini, kita perlulah mengelakkan diri daripada menonton televisyen sehingga larut malam. Sekiranya kita dapat berehat dan tidur yang mencukupi dalam satu hari, tubuh badan kita tidak sentiasa lemah dan tidak bertenaga bagai ayam kena lengit. Selanjutnya, tidur mencukupi dapat mengurangkan stres dan penyakit sakit kepala. Berdasarkan kajian, manusia yang memperoleh tidur optimum akan lebih peka dan memiliki tahap memori yang lebih baik serta pelbagai tugasan dapat dijalankan dengan lebih efisien. Sudah terang lagi bersuluh bahawa tidur dan rehat amat mudah tetapi cukup berkesan untuk kesihatan diri.

                    Bagi menjamin kesihatan diri, kita perlu melakukan pemeriksaan kesihatan. Hal ini dikatakan demikian kerana perkara ini adalah penting untuk memastikan anggota dalaman tubuh kita seperti jantung, hati, buah pinggang dan pankreas berfungsi baik. Menurut saranan pakar perubatan, seseorang perlu menjalankan pemeriksaan kesihatan secara berkala iaitu sekurang-kurangnya dua kali setahun atau enam bulan sekali. Pemeriksaan kesihatan meliputi tekanan darah, paras gula dalam darah, tahap kolesterol dan sebagainya. Pemeriksaan dibuat untuk memastikan tahap kesihatan kita berada dalam keadaan sihat dan dapat mengesan sesuatu penyakit ketika masih di peringkat awal dan memudahkan kita menjalani rawatan dengan teknologi moden kini.  Dengan itu, kita mampu mengenali keadaan tubuh badan kita dengan lebih mendalam dan dapat menentukan pilihan terbaik untuk menjaga kesihatan kita. Melalui kaedah ini juga, penyakit kronik seperti penyakit jantung koronari, tekanan darah tinggi, kencing manis dan obesiti dapat dikesan lebih awal. Bak kata pepatah, cegah sebelum parah, kita digalakkan untuk bertanya kepada pakar perubatan tentang diet yang betul untuk diamalkan. Seandainya kita mendapati diri tidak sihat, kita perlulah segera berjumpa dengan doktor untuk mendapat ubat dan pengesahan tentang penyakit yang dihadapi. Lantaran itu, kita perlulah menurut nasihat doktor dan mengambil ubat pada masa yang ditetapkan.  Sebelum kudis menjadi tokak, kita perlulah senantiasa memastikan diri sentiasa sihat dengan mendapatkan pemeriksaan doktor secara berjadual.


                    Secara pengitlakannya, penjagaan kesihatan perlu menjadi agenda dan keutamaan dalam kehidupan kita seharian. Sebenarnya, untuk hidup sihat bukanlah suatu yang sukar kerana pilihannya terletak di tangan kita sendiri. Persoalannya, adakah kita mampu berkata “tidak” kepada perkara yang memudaratkan kesihatan atau kita meneruskan amalan yang mengundang musibah kepada diri sendiri? Jawapannya, “tepuk dada tanya selera”. Kita tidak boleh menunggu seperti pungguk rindukan bulan sehingga kesuntukan masa kerana peribahasa Melayu ada menyatakan bahawa nasi sudah menjadi bubur, sudah terhantuk baru nak tengadah dan sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Pada masa itu, segala-gala sudah menjadi sia-sia. Amalan sebelum nasi menjadi bubur, sebelum terhantuk tengadah dahulu, sediakan payung sebelum hujan, cegah sebelum parah dan mencegah lebih baik daripada mengubati, beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis, bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian perlu dijadikan pedoman hidup. Oleh itu, marilah kita bersama-sama mensyukuri nikmat kesihatan yang dikurniakan oleh Tuhan dan menjaga nikmat kesihatan ini sebaiknya. Jika iktibar-iktibar yang dikemukakan atas itu kita laksanakan, sudah pasti kita memiliki kriteria-kriteria insan yang berjaya kerana  tokoh ilmuan pernah berpesan bahawa kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih dan di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya. Akhir kalam, semoga hasrat untuk menjamin kesihatan diri terlaksana dengan keizinan Tuhan Yang Maha Esa. 

1 条评论 :