2017年1月19日星期四

Karangan SPM Bahagian A- Usaha-usaha memupuk semangat kejiranan

Usaha-usaha memupuk semangat kejiranan

                    
                    Semangat kejiranan merupakan antara isu yang sering diwara-warakan dalam media massa di negara kita akhir-akhir ini. Sehubungan dengan itu, semua pihak mestilah komited untuk mendepani isu ini kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Persoalannya, apakah usaha-usaha memupuk semangat kejiranan?

                    Pada pendapat saya, antara usahanya ialah ibu bapa perlu menjadi suri teladan kepada anak-anak. Hal ini dikatakan demikian kerana tindakan yang diambil oleh ibu bapa seperti mengambil berat dan menjaga kebajikan jiran dapat dicontohi oleh anak mereka. Dengan ini, anak-anak dapat mempelajari nilai murni seperti saling membantu dan bekerjasama dalam kehidupan. Di samping itu, ibu bapa seharusnya menjalin hubungan baik dan memuliakan jiran kerana mampu memupuk semangat kejiranan.  Amsalnya, ibu bapa perlulah sentiasa membantu jiran yang berada dalam kesusahan agar hubungan menjadi lebih erat. Izharnya, ibu bapa memainkan peranan yang dominan dalam memupuk semangat kejiranan.

                    Seyogia, amalan dan budaya bertegur sapa dengan jiran kita yang lain juga perlulah diwujudkan. Hal ini bermaksud kita patut berkenalan dan berbual-bual dengan jiran. Tambahan pula, kita seharusnya menjemput jiran apabila mengadakan majlis atau rumah terbuka di rumah.  Di samping itu, kita juga harus berbaik-baik dengan jiran dan tidak mengatakan keburukan jiran supaya reputasi dan imej jiran dapat dikekalkan selama-lamanya. Tuntasnya, bertegur sapa dengan jiran kita yang lain dapat memupuk semangat kejiranan.

                    Jika diteliti dengan lebih mendalam, pihak kerajaan juga berperanan untuk menganjurkan kempen kesedaran demi memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat. Dalam konteks ini, kempen kesedaran tentang semangat kejiranan yang dianjurkan berupaya untuk meningkatkan amalan kejiranan . Misalnya, kempen kesedaran bertujuan untuk menyedarkan masyarakat yang nafsi, ego dan materialistik. Oleh sebab itu, pihak kerajaan perlulah mengambil inisiatif dan menjalankan obligasi untuk menjalankan program tersebut demi kebajikan masyarakat setempat. Jelaslah bahawa pihak kerajaan memainkan peranan yang prioriti dalam memupuk semangat kejiranan.

                    Dalam perspektif lain, kita haruslah menghidupkan semula konsep rukun tetangga di kawasan perumahan. Aktiviti rukun tetangga yang dianggotai oleh penduduk yang pelbagai kaum membuka mata masyarakat peri pentingnya kerjasama yang melibatkan soal keselamatan di kawasan perumahan. Tamsilnya, mereka akan bergilir-gilir untuk berjaga dan meronda di kawasan perumahan pada setiap malam. Dengan ini, mereka akan memanfaatkan peluang tersebut untuk menjalin kemesraan, seterusnya mewujudkan suasana yang harmoni dalam kalangan masyarakat. Tegasnya, konsep rukun tetangga mampu memupuk semangat kejiranan.


                    Walhasil, semua pihak mestilah bersinergi untuk memupuk semangat kejiranan agar masyarakat sejagat hidup sejahtera. Dalam konteks ini, golongan bijak pandai pernah berpesan, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya!

没有评论 :

发表评论