2017年1月19日星期四

Karangan SPM Bahagian B- Peranan anak-anak menghargai pengorbanan ibu bapa

Peranan anak-anak menghargai pengorbanan ibu bapa
                     

                   Profesor Di raja Ungku Aziz pernah mengatakan bahawa rumah merupakan universiti pertama bagi anak-anak dan ibu bapa pula merupakan profesor pertama bagi mereka. Kata-kata ini jelas menunjukkan bahawa  ibu bapa merupakan orang yang terdekat dengan kita. Jika diteliti dengan lebih mendalam, ibu bapa juga merupakan akar tunjang  keluarga, mereka sentiasa mengutamakan kita malahan memberikan sepenuh kasih sayang serta melindungi kita bagai menatang minyak yang penuh. Alangkah bahagianya kedua-dua insan mulia tersebut sekiranya anak yang bertuah ini benar-benar menuruti acuan yang telah disepuh dan dicanai sejak awal lagi.  Lantaran itu, ibu bapa merupakan insan yang paling berjasa dalam kehidupan kita.  Justeru, kita mestilah menghargai pengorbanan ibu bapa. Persoalannya, apakah cara-cara yang boleh diambil oleh anak-anak untuk menghargai pengorbanan ibu bapa? Pada pendapat saya, jawapannya sudah pasti tugas dan peranan yang boleh menghargai pengorbanan ibu bapa oleh seorang insan yang bergelar anak.

                   Setiap anak hendaklah bersyukur kepada Allah SWT kerana dengan limpah dan kurnia-Nya, kita dilahirkan ke dunia ini. Sementara itu,  berterima kasihlah juga kepada ibu bapa yang telah bersusah payah melahirkan dan membesarkan kita. Langkah yang signifikan ialah anak-anak perlu senantiasa berdoa kepada Allah SWT agar memberikan barakali kesihatan dan kesejahteraan kepada ibu bapa.  Seyogia, anak-anak juga perlu membentuk jati diri mereka supaya mudah berjinak-jinak dengan amalan yang diredai Tuhan.  Binalah kekuatan peribadi sebagai insan yang mulia di dunia dan memperoleh ganjaran pahala.  Tiada yang lebih berguna selepas ibu bapa pergi melainkan menadah harapan agar anak-anak mengirimi mereka doa kerana sesungguhnya doa anak soleh untuk ibu bapanya tidaklah terputus amalannya meskipun mereka sudah berpindah ke balik papan. Jelaslah bahawa bersyukur dan berdoa merupakan minhaj untuk menghargai pengorbanan ibu bapa.

                    Seyogia, yang paling prioriti kita lakukan sebagai seorang anak ialah menghormati dan menzahirkan penghargaan ibu bapa. Tegasnya bahawa kita perlu menghormati dan menghulurkan bantuan apabila mereka menghadapi sebarang masalah. Dengan ini, kita boleh menjadi pendengar setia untuk melepaskan azah dan tekanan ibu bapa serta memberikan pandangan yang munasabah kepada mereka. Di samping itu, kita juga perlu memberikan perhatian dan kasih sayang terhadap ibu bapa. Kita patut menjaga ibu bapa dengan sepenuh kasih sayang dan jangan sekali-kali berhajat untuk menempatkan mereka  di rumah orang-orang tua. Hal ini dikatakan demikian kerana pengorbanan ibu bapa terhadap kita terlalu tinggi nilainya. Deduksinya, perhatian dan kasih sayang yang secukupnya amat penting bagi menghargai pengorbanan ibu bapa.                 

                    Sehubungan dengan itu,  kita perlulah menurut nasihat dan taat kepada ibu bapa. Selain itu, kita perlu memastikan diri sendiri sentiasa berada di landasan yang betul. Tamsilnya, kita hendaklah tahu membezakan antara baik dan buruk. Dengan ini,  kita tidak mudah melakukan kesalahan dan dapat mengelakkan diri daripada terjebak dalam perlakuan negatif yang boleh menjejaskan reputasi dan menjatuhkan maruah keluarga. Sebelum kita membuat segala keputusan  mestilah ditimbang terlebih dahulu supaya tidak menjejaskan emosi ibu bapa kerana terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.  Kontradiksinya,  kegembiraan pasti akan terpancar di wajah ibu bapa seandainya kita bersahsiah mulia. Oleh itu, ingatlah pesanan orang tua bahawa walau di mana-mana kita berada dan jangan sekali-kali  menconteng arang ke muka ibu bapa.

                      Sementelahan, anak yang baik sentiasa beriltizam untuk mengubah kehidupan ibu bapa agar menjadi lebih baik. Maka, bertungkus lumus demi jaminan hidup yeng lebih sempurna kerana kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Hal ini dikatakan demikian kerana amatlah jengkel seseorang yang tidak berilmu apabila berada di tengah-tengah masyarakat. Sejajar dengan perkembangan teknologi, tuntutlah ilmu setinggi yang mungkin dan lengkapi diri dengan pelbagai kemahiran. Sesungguhnya, ilmulah yang dapat membezakan antara yang dungu dengan cemerlang. Tiada harta yang ibu bapa harapkan, hanya segulung ijazah sudah memadai untuk mereka. Izharnya, ilmulah yang menjadi jaminan untuk membahagiakan ibu bapa.

                    Pada waktu yang sama, setiap anak sewajarnya meluangkan masa lapang bersama-sama dengan ibu bapa. Kita boleh bersenam bersama-sama dengan ibu bapa seperti berenang, bermain bola, berjoging dan sebagainya. Melalui aktiviti-aktiviti tersebut, kita dapat mengekalkan kesihatan fizikal dan mental. Hal ini secara tidak langsung, dapat meningkatkan imuniti badan kita dan menghindarkan diri daripada sebarang penyakit seperti deman, selesama dan batuk. Cogan kata “ badan cergas, otak cerdas. ” Kita dapat bersemangat dan melaksanakan tugasan secara efektif khususnya selepas bersenam. Pada realitinya, secara tidak langsung dapat mengurangkan tekanan dan stres ibu bapa. Dengan itu, ibu bapa dapat melupakan masalah yang membelenggu sukma buat seketika dan memebebankan minda mereka. Di samping itu, kita dapat mengeratkan hubungan silaturahim apabila kita bergaul bersama dengan ibu bapa berbanding dengan hanya bercakap di telefon sahaja. Ibu bapa pasti akan dihargai sekiranya kita sanggup meluangkan masa bersama-sama dengan mereka walaupun dalam masa yang singkat. Pendek kata, hubungan kita akan menjadi lebih erat dan mesra seperti isi dengan kuku.

                    Tuntasnya, jadilah sebaik-baik anak yang boleh menghargai pengorbanan dan membahagiakan ibu bapa apabila mereka di dunia yang fana, mahupun di akhirat sesudah meninggal dunia.  Oleh sebab itulah, Nabi Muhammad SAW menyarankan setiap insan supaya menghormati ibu bapa kerana pengorbanan ibu bapa amat besar. Ingatlah bahawa syurga itu di bawah telapak kaki ibu dan kasih ibu membawa ke syurga, kasih bapa sepanjang masa. Begitulah pengorbanan ibu bapa yang tiada tandingannya dengan sesiapa pun jua. Janganlah bersikap kacang lupakan kulit kerana tanpa mereka siapalah kita. ‘’ Rumahku, Syurgaku. ‘’  Akhirulkalam, dititipkan serangkap pantun untuk renungan semua.

Dua tiga kucing berlari,
Mana nak sama si kucing belang ;
Dia tiga boleh kucari,
Mana nak sama ibuku seorang.

1 条评论 :

  1. mohon izin kongsi dengan murid - murid .terima kasih

    回复删除