Peranan ibu bapa dalam pembentukan disiplin anak-anak amat penting dalam
membentuk masyarakat yang cemerlang, gemilang, dan terbilang. Bincangkan.
Profesor Di raja Ungku Aziz pernah mengatakan
bahawa rumah merupakan universiti pertama bagi anak-anak dan ibu bapa pula
merupakan profesor pertama bagi mereka. Kata-kata ini jelas menunjukkan bahawa
ibu bapa dan setiap ahli keluarga memainkan peranan yang amat penting dalam
pembentukan disiplin anak-anak. Anak-anak merupakan anugerah dan amanah Tuhan
yang tidak ternilai. Ibu bapa bertanggungjawab untuk mewujudkan rumah tangga
yang aman dan damai kerana anak-anak akan berasa bahagia apabila ibu bapa
memberikan sepenuh kasih sayang dan melindungi diri anak-anak mereka bagai
menatang minyak yang penuh. Menurut Hadis, anak diibaratkan kain putih yang
akan dicorakkan oleh ibu bapanya. Pada pendapat saya, ibu bapa memainkan
peranan penting dalam pembentukan disiplin anak-anak.
Jika dibandingkan antara
ibu bapa dahulu kala dengan ibu bapa zaman globalisasi ini, kita dapat
mengetahui bahawa anak-anak dulu lebih kerap dipukul. Sejak kempen antidera
diperluas, ibu bapa mula menjauhkan diri mereka dengan rotan. Daripada
perspektif orang tua-tua, setiap sebatan dan hukuman yang diterima dapat
memberi tamparan insaf kepada diri anak-anak yang melakukan kesalahan. Namun,
saya percaya bahawa ibu bapa perlu tegas
dan mendisplinkan anak-anak sejak kecil kerana melentur buluh biarlah dari
rebungnya. Dengan pendisiplinan yang kukuh dan ketegasan yang bertempat,
anak-anak akan berfikir ulang kali sebelum melakukan kesalahan.
Selain ketegasan dan
pendisiplinan, pendidikan formal
perlu disalurkan oleh ibu bapa demi mematangkan fikiran anak-anak. Dengan
pendidikan yang diterima, akal dan perasaan ingin memberontak dalam kalangan
anak dapat diatasi. Hal ini demikian kerana anak-anak dikawal ketat dari segi
peraturan sekolah. Degan peraturan sekolah yang efektif dan jadual pelajaran
yang ketat, nescaya anak-anak tidak akan mempunyai masa yang terluang untuk
melakukan perkara yang membelakangkan undang-undang. Pendidikan formal yang
efektif dapat menjadi tulang belakang pendirian yang mapan anak-anak dalam mendisiplinkan
diri agar tidak melakukan perbuatan yang menconteng arang di muka ibu bapa.
Ajaran agama dan moral merupakan elemen yang maslahat dalam
memperkukuh keimanan diri anak-anak demi mengekang hati dan perasaan yang ingin
melanggar tatasusila. Masalahnya kini, ibu bapa bagai enau di dalam belukar,
melepaskan pucuk masing-masing kerana sibuk mengejar kebendaan dan kedudukan
dalam masyarakat. Mereka alpa dengan
tanggungjawab keibubapaan yang asas, yakni mendidik anak-anak dengan ajaran
agama dan moral. Tamsilnya, ibu bapa hendaklah menerangkan kepentingan menjaga
moral dan tingkah laku yang murni demi mengukuhkan sahsiah diri. Dengan saluran
yang betul dan tepat, anak-anak dapat didisiplinkan dan dibentuk menjadi modal
insan yang berketerampilan dan berkewibawaan.
Menurut Doktor Fazilah Kamsar, iaitu pakar
motivasi yang unggul dan terkemuka. Beliau pula mengatakan bahawa anak-anak
akan menjadi berdisiplin jika kita menerangkan sebab dan natijahnya jika dia
melakukan kesalahan. Hal ini dikatakan demikian kerana nasihat yang bernas
daripada ibu bapa lebih berkesan daripada jeritan maruah yang membuang masa dan
tenaga. Di samping itu, anak-anak perlu diterangkan kesannya jika mereka
merokok dan akibat daripada perbuatan ketidakjujuran mereka. Langkah ini
prioriti agar akal anak-anak yang waras dapat dibentuk untuk membuat keputusan
yang bijak dan rasional supaya tidak menyesal atas perbuatan diri kerana sesal
dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Usaha ini amat penting agar anak-anak dapat
dimatangkan dari segi psikologi
sekali gus pencorakan disiplin diri mereka terbentuk secara semula jadi.
Seyogia, ibu bapa perlulah
menunjukkan teladan yang baik kepada
anak-anak mereka. Hal ini dikatakan demikian kerana bagaimana acuan, begitulah
kuihnya. Ibu bapa berperanan penting mempamerkan disiplin yang tinggi di depan
anak-anak. Amsalnya, ibu bapa haruslah membuang sampah di tong sampah dan
menjaga kelakuan diri di khalayak ramai agar dicontohi oleh anak-anak mereka.
Dengan ini, anak-anak yang mencontohi sikap positif ibu bapa pasti tidak akan
membuat perkara yang menyalahi peraturan. Oleh hal yang demikian, ibu bapa
mestilah menjauhi sikap ketam yang mengajar anaknya berjalan betul tetapi diri
sendiri berjalan senget.
Akhirulkalam, dapatlah saya
simpulkan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam pencorakan
disiplin anak-anak. Pencorakan disiplin anak-anak dari rumah, yakni daripada
komitmen ibu bapa amat berkesan. Untuk melahirkan anak-anak yang berdisiplin, ibu
bapa haruslah menyedari hakikat bahawa masa depan anak-anak juga ditentukan
oleh ajaran dan teguran membina daripada mereka. Anak-anak yang berdisiplin
dapat menyakinkan ibu bapa dengan kejayaan akademik dan kokurikulum sekali gus
menjadi warga yang berpendidikan, berwawasan, berdedikasi, berkaliber dan
berdisiplin. Justifikasinya, saya berharap ibu bapa menginsafi tanggungjawab
mereka dalam pembentukan disiplin anak-anak agar tidak menyesal selepas
anak-anak terjerumus dalam kancah kebejatan sosial. Kebobrokan sikap anak-anak
mestilah dikekang daripada menjadi duri dalam daging masyarakat kerana masa
tercinta ini memerlukan tenaga mereka untuk mencapai impian Wawasan 2020.
Tegasnya, rumah tangga merupakan kebun yang subur untuk melahirkan insan yang
bersahsiah mulia dan berdedikasi. “Rumahku, Syurgaku.”
没有评论 :
发表评论