2018年12月5日星期三

Nota Ekonomi STPM Penggal 3- Dasar kerajaan mengawal inflasi

Dasar kerajaan mengawal inflasi

1. Dasar fiskal menguncup

i. Menaikkan cukai.
Kerajaan menaikkan cukai terutamanya cukai langsung seperti cukai syarikat dan cukai pendapatan perseorangan. Apabila cukai dinaikkan, untung bersih syarikat dan pendapatan boleh guna individu berkurang. Firma akan mengurangkan pelaburan dan isi rumah mengurangkan perbelanjaan. Perbelanjaan agregat menurun dan pendapatan negara merosot. Kesannya, tingkat harga umum jatuh dan tekanan inflasi dapat dikurangkan.

ii. Mengurangkan perbelanjaan kerajaan.
Kerajaan mengurangkan perbelanjaan kerajaan melalui pengurangan atau penangguhan projek pembangunan baharu menyebabkan permintaan agregat menurun. Penurunan permintaan agregat akan menyebabkan pendapatan negara merosot. Kesannya, tingkat harga umum jatuh dan tekanan inflasi dapat dikurangkan.

2. Dasar kewangan menguncup

i. Mengurangkan penawaran wang.
Bank pusat mengurangkan penawaran wang menyebabkan kadar bunga meningkat, kos pinjaman akan meningkat dan tingkat pelaburan akan menurun. Ini menyebabkan perbelanjaan agregat dan permintaan agregat merosot. Kesannya, tingkat harga umum jatuh dan tekanan inflasi dapat dikurangkan.

ii. Meningkatkan kadar bunga.
Bank pusat meningkatkan kadar bunga menyebabkan jumlah tabungan meningkat dan kegiatan pinjaman berkurang. Ini menyebabkan perbelanjaan agregat dan permintaan agregat merosot. Kesannya, tingkat harga umum jatuh dan tekanan inflasi dapat dikurangkan.

3. Dasar kawalan harga
Kerajaan akan melaksanakan dasar harga maksimum untuk mengawal kenaikan harga barang keperluan pengguna seperti susu, gula, beras, minyak supaya lebih banyak pengguna dapat membelinya. Dasar harga maksimum ialah penetapan tingkat harga yang lebih rendah daripada tingkat harga di pasaran. Kawalan harga dapat mengurangkan tekanan inflasi. Kerajaan turut memberi subsidi kepada pengeluar tempatan supaya mengurangkan kos pengeluaran pengeluar.

4. Dasar kawalan pendapatan
Kerajaan akan melaksanakan dasar upah maksimum untuk mengawal kenaikan upah. Dasar upah maksimum ialah penetapan tingkat upah yang lebih rendah daripada tingkat upah di pasaran. Tuntutan kenaikan upah oleh kesatuan sekerja semasa ekonomi telah mencapai guna tenaga penuh yang tidak disusuli dengan peningkatan daya pengeluaran akan menaikkan kos pengeluaran dan mencetuskan inflasi tolakan kos. Kawalan upah bertujuan untuk menyekat kenaikan kos pengeluaran para pengeluar dan seterusnya mengurangkan tekanan inflasi. 

没有评论 :

发表评论